ISU sekolah daif di Malaysia dijangka dapat ditangani apabila permasalahan tersebut kini menjadi tumpuan Kerajaan Perpaduan untuk diselesaikan bagi menjamin kebajikan murid dan guru, selain meningkatkan mutu pendidikan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menjelaskan semua sekolah di bawah tanggungjawab kerajaan akan diperbaiki mulai Bajet 2023 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 24 Februari ini.
Anwar juga telah mengarahkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk menyenaraikan semua sekolah daif tanpa kira jenis sekolah atau siapa pelajar sama ada orang Penan dan Dayak di pedalaman Sarawak, India di Ijok, Melayu di Manek Urai dan sebagainya.
Setakat 31 Januari lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengenal pasti sebanyak 830 sekolah yang memerlukan penggantian atau pembangunan semula blok bangunan daif berdasarkan analisis skor gred impak pada skala enam dan tujuh.
Perkembangan terbaharu itu pasti memberi kelegaan kepada warga pendidikan yang mahu isu tersebut diatasi segera kerana ketika ini masih terdapat sekolah yang menggunakan bangunan kayu dan papan untuk sesi pembelajaran.
Lebih serius apabila kemudahan asas seperti jalan raya dan jambatan yang menjadi akses utama ke sekolah juga tidak dinaik taraf.
Banyak kisah kepayahan guru dan murid meredah selut jalan tanah merah dan meniti jambatan usang tular di media sosial sehingga KPM serta agensi kerajaan berkaitan terima pelbagai kritikan.
Malah sebelum ini isu tersebut sering dibangkitkan oleh pelbagai pihak seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), badan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin politik.
Oleh yang demikian, KPM wajar menetapkan satu tempoh yang jelas bagi memastikan setiap kerja baik pulih sekolah terbabit dilaksana dan disiapkan mengikut jadual.
Bajet 2023 akan menjadi titik permulaan bagi semua pelajar untuk memiliki sekolah yang selamat dan selesa memandangkan negara telah mencapai usia 66 tahun kemerdekaan.
Ia juga selari dengan tujuh teras utama KPM dalam memperkasakan pendidikan negara dengan memberi tumpuan kepada pembangunan sekolah daif.
Malaysia perlu keluar dari kepompong sekolah daif sekiranya mahu melihat pelajar generasi seterusnya mendapat pendidikan yang setanding dengan negara maju.