'Sekarang ini berehat sementara daripada politik' - KJ

Iklan
Khairy Jamaluddin (kanan) sewaktu penamaan calon mewakili BN bagi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

SHAH ALAM - Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan beliau kini berehat buat sementara, bukan berhenti dari dunia politik.

Beliau berkata demikian menjawab soalan yang diajukan AG, adakah sekarang ini memang tidak berminat lagi dengan politik.

Iklan
Iklan

"Sekarang ini 'take a break' (rehat)," katanya sewaktu mengendalikan slot Bekpes Hot bersama Johan dan AG pagi Rabu.

Sebelum itu, penyampai radio itu juga bertanyakan kepada Khairy, adakah beliau mengambil jurusan politik ketika belajar dahulu dan kenapa berminat dalam bidang itu.

Iklan

"Pada tahun 1997, awak (Johan) pula bila (belajar kat sana? Saya habis belajar pada tahun tersebut dan buat master di London.

"(Jadi) minat politik sebab suka bantu orang, maaf jawapan serius," katanya.

Iklan

Johan membalas pula bahawa beliau juga suka membantu orang tetapi tidak berminat dengan politik.

Kemudian dibalas Khairy, meskipun bukan melalui politik, Johan membantu orang lain menerusi pekerjaannya sekarang iaitu penyampai radio.

"Pandai la pusing dia," kata Johan.

Dijawab semula oleh bekas Ahli Parlimen Rembau itu:"Mestilah orang politik."

Jawapan spontan Khairy itu memecahkan suasana dalam konti radio berkenaan.

Sebelum ini, dilaporkan, kemunculan Khairy sebagai penyampai Hot FM adalah untuk memberi keseimbangan kepada slot Bekpes Hot dengan membincangkan topik serius dan menyampaikan maklumat menarik untuk dikongsi bersama pendengar.

Kisah KJ bakal menjadi DJ HotFM mula diperkatakan selepas Hot FM membuat tawaran kepada Khairy menerusi surat terbuka di Instagram @hotfm976 membabitkan jawatan sebagai penyampai radio yang bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 pagi hingga 10 pagi.

Susulan itu, Media Prima Audio (MPA) mengesahkan Khairy akan bertugas sebagai penyampai di stesen radio Hot FM serta bakal mengendalikan segmen Bekpes Hot, mulai hari ini.

Khairy kemudiannya turut mengesahkan dirinya bakal menyertai Hot FM dalam temuramah melalui telefon pada segmen Bekpes Hot yang dikendalikan Johan, AG dan Datuk AC Mizal.