SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan akan memastikan lelaki yang cedera ditikam seorang pesakit mental di Hospital Selayang pada Selasa diberikan rawatan terbaik.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustapha berkata, beliau bersama Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman; Pengarah Hospital Selayang, Dr Afidah Ali dan pasukan doktor yang merawat mangsa telah bertemu dengan keluarga lelaki tersebut.
"Saya telah bertemu keluarga mangsa bagi menjelaskan keadaan yang berlaku.
"Usaha-usaha ini dilakukan bagi memastikan pesakit diberi rawatan yang terbaik,” katanya melalui hantaran di Facebook pada Rabu.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki ditikam pesakit mental yang dibawa ke hospital oleh polis.
Mangsa yang menghidap demam denggi datang ke hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan sebelum diserang.
Sementara itu, menurut Dr Zaliha, keadaan pesakit akan dilaporkan dari semasa ke semasa kepada ahli keluarga.
"Perkara ini sedang dalam siasatan pihak yang berwajib,” katanya.