JOHOR BAHRU - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan harapan agar kerjasama dalam Pakatan Harapan (PH) terutama di negeri ini, dalam usaha memantapkan lagi kerajaan diteruskan.
Beliau mahu pimpinan PKR di negeri ini memberikan sokongan padu kepada Menteri Besar Johor yang baharu, Dr Sahruddin Jamal.
"PKR ucap tahniah kepada (Dr) Sahruddin (Jamal), menteri besar yang baharu dan harap kerjasama dalam pakatan, perbincangan dan usaha memantapkan lagi kerajaan diteruskan.
"Saya nak pimpinan Johor memberikan sokongan padu supaya dapat kita perkuatkan kerajaan negeri terutama (dalam melaksanakan) program-program yang kita sebut merakyatkan ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas hadir Town Hall Anak Muda sempena siri jelajahnya ke Johor di sini hari ini.
Anwar juga mahu agenda membantu meringankan beban rakyat diperkasa selain melaksanakan program yang memberikan penjelasan mengenai dasar-dasar kerajaan.
Pada sidang media sama, Ahli Parlimen Port Dickson itu juga tidak bersetuju dengan dakwaan segelintir pihak yang mendakwa PKR ketandusan pimpinan muda.
Bagaimanapun, katanya, cadangan untuk meningkatkan kefahaman, kursus dan latihan harus disegerakan bukan sahaja di kalangan orang muda, tetapi ahli baru parti.
"Patut diberikan pendedahan tentang sejarah perjuangan parti,” katanya.