KOTA BHARU - Kebakaran yang berlaku lebih tujuh bulan lalu mengakibatkan lima keluarga di Kampung Bunut Payong di sini terpaksa tinggal dalam bangsal dan khemah yang dibina sendiri.
Lebih menyedihkan apabila 30 ahli keluarga berkenaan menumpang di atas tanah penduduk dan berkongsi satu bilik air kira-kira 50 meter dari khemah mereka.
Tinjauan di kawasan kebakaran mendapati ada pembinaan tapak untuk membuat rumah tetapi dimaklumkan gagal disiapkan kerana dana tidak mencukupi.
Mangsa, Zainun Dollah, 71, berkata, seminggu selepas kebakaran, anak dan cucunya membina sebuah bangsal kecil untuk dia dan suami, Deris Sulaiman, 81, demi keselamatan dan dekat berulang-alik ke tandas.
Zainun memberitahu, bangsal selebar 3.6 meter × 6.1 meter dibina daripada kayu rumah lama yang tidak terbakar dan zink sumbangan orang ramai.
"Bagaimanapun, kami terpaksa bertahan daripada kepanasan dan kebasahan jika hujan," katanya ketika ditemui pada Rabu.
Menantu Zainun, Noriza Kadir, 51, berkata, mereka membina khemah kerana tidak mampu membayar sewa dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi selain enggan meninggalkan orang tua yang tidak mahu berpindah.
Noriza yang membuat kuih-muih sejak 25 tahun lalu mengakui pendapatannya merudum selepas kebakaran kerana semua peralatan sumbangan sebuah agensi hangus dalam bencana itu.
"Kami semua tinggal sehelai sepinggang, barang yang ada di khemah hasil sumbangan orang ramai," katanya.
Tambahnya, pembinaan rumah di atas tanah milik mertua tergendala kerana wang bantuan yang diterima daripada pemimpin setempat dan masyarakat tidak mencukupi.
Noriza tinggal bersama lapan ahli keluarganya termasuk suami, tiga anak dan anak saudara di khemah itu.
Sementara itu, anak Zainun, Norila Deris, 56, membina pondok berasingan dan tinggal bersama suami serta tiga anak berusia 30 hingga 35 tahun.
"Kami kini tinggal berhimpit dalam pondok kecil ini selepas semua hangus dalam kejadian Julai lalu.
"Saya berdoa semoga kehidupan kami akan kembali seperti sebelum bencana dan dapat berhari raya dalam rumah yang sempurna," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Biro Kebajikan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) Nozlyhairani Suhana Mohamed memberitahu, mereka dimaklumkan keluarga berkenaan kini menjalani kehidupan sukar selepas tiga rumah terbakar.
"Keluarga ini juga berusaha untuk membina rumah tiga pintu yang boleh menjimatkan kos tetapi wang bantuan tidak mencukupi," katanya.
Nozlyhairani Suhana mengalu-alukan orang ramai atau syarikat korporat memberi sumbangan untuk menyiapkan rumah mereka sebelum Ramadan.
Orang ramai yang mahu membantu mencukupkan dana untuk pembinaan rumah keluarga Zainun boleh menghubungi Noriza di nombor 0179637335.
Sinar Harian pada 19 Julai lalu melaporkan seorang warga emas melecur dalam kejadian kebakaran melibatkan tiga buah rumah di Kampung Bunut Payong.