KUALA TERENGGANU - Walaupun hilang keupayaan melihat, namun 'mata hati' seorang ibu tunggal, Gayah Awang cukup terang sehingga mampu menenun songket dengan hanya berdasarkan deria sentuhan dan mengingati kaedah tenunan dipelajarinya sejak zaman kanak-kanak.
Bukan senang hendak menghafal susun atur benang dan ‘rentak’ menenun tanpa deria penglihatan, namun Gayah, 54, tetap bertekad untuk meneruskan kemahiran unik yang diwarisi daripada nenek moyangnya itu, sementelah ia juga merupakan punca utama pendapatan keluarga.
Mesra disapa Mok Su, ibu tunggal empat anak kematian suami kira-kira 20 tahun lepas itu memberitahu nikmat melihat dengan jelas dan terang hilang sedikit demi sedikit ketika usianya menginjak remaja akibat penyakit saraf yang merupakan penyakit genetik dalam keluarganya.
"Lima daripada tujuh adik beradik Mok Su ada masalah penglihatan dan Mok Su boleh dikatakan butalah sekarang ni... Kalau duduk tempat cerah, nampaklah bayang-bayang depan Mok Su tapi tak tahu apa.
"Masa menenun ni memang tak nampak, meraba-raba sajalah, tapi anak (perempuan) tolong susunkan benang dan siapkan peralatan menenun. Kemudian Mok Su mula menenun dengan cara kiraan jalur benang dan sentuhan untuk memastikan kain yang ditenun kemas dan cantik," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Panjang di sini.
Menurut Mok Su setiap gulungan benang ditandakan dengan ikatan getah bagi membolehkannya membezakan setiap warna benang yang akan digunakan untuk setiap helai kain tenunan.Kebiasaannya Mok Su menenun 'songket bunga dalam' yang menurutnya lebih senang dihasilkan bagi dirinya yang kurang upaya kerana tidak menggunakan banyak warna, corak dan bunga.
"Biasanya, Mok Su tak ambil tempahan terus dari pelanggan sebab dengan keadaan diri ini, cuma boleh siapkan sehelai songket dalam masa seminggu, orang biasa dalam dua hari dah siap. Mok Su pun tak mampu buat banyak, hasil jualan lepaslah untuk belanja dapur.
"Jadi Mok Su buat sikit-sikit, bila dah siap ada barang (stok) barulah panggil orang (pemilik kedai) datang ambil di rumah," katanya yang mula menenun sejak di bangku sekolah rendah lagi.
Katanya, tenunan lebih sukar kaedahnya seperti sampin 'songket bunga penuh’ akan dihasilkan oleh anaknya Nurul Hajar Ismail, 26, dan mereka masih menggunakan mesin tenunan tradisional warisan keluarga diperbuat daripada kayu dan dipanggil 'kei'.
"Mok Su buat kerja ini (tenunan) kerana hanya ini yang Mok Su pandai buat untuk cari duit dan sara anak-anak kecil selepas kematian suami akibat penyakit lelah," katanya yang sempat menamatkan pengajian peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan diterima masuk ke Maktab Perguruan, namun terpaksa ditolak setelah penglihatannya hilang pada usia 19 tahun.Menurut wanita kental itu, kerjaya sebagai penenun songket tradisional bukanlah mudah, namun semangat cintakan tradisi dan warisan nenek moyang, mendorongnya untuk meneruskan karier itu walaupun pendapatannya tidak seberapa kerana produk dihasilkan tidak banyak.
"Kita dah belajar menenun dari kecil (sekolah rendah), jadi dah pandai sangat menenun, baiki 'kei' ni pun dah boleh buat sendiri, jadi rasa sayang nak tinggalkan ilmu yang kita belajar daripada emak dan nenek kita dulu ni.
"Sebab tu saya turunkan pula kemahiran menenun ini kepada dua anak perempuan saya dan Hajar (anak) pun dah pandai dan dialah yang membantu saya secara sepenuh masa, kakaknya pula walaupun dah ada kerja lain, tahu juga menenun," katanya yang memberitahu kemahiran itu biasanya dikuasai oleh kaum wanita.
Menurutnya, kerja-kerja tenunannya mendapat sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu dan pernah menerima bantuan seperti bekalan benang daripada badan tersebut.
Selain itu katanya dia juga ada menerima elaun orang kurang upaya (OKU) daripada Jabatan Kebajikan Masyarat dan bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam). - Bernama