KUALA LUMPUR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin terbuka untuk sebarang siasatan, namun mengingatkan agar Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyalahgunakan kuasa sebagai Perdana Menteri untuk menekannya dan PN.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga menegaskan bahawa beliau tidak pernah sekalipun mengambil duit rakyat.
"Jangan samakan parti saya dengan parti yang lain. Saya nak ingatkan Tambun (Anwar), jangan salah guna kuasa sebagai Perdana Menteri untuk menekan saya dan PN.
"Saya juga nak ingatkan di dewan yang mulia ini, Tambun pernah didapati bersalah oleh mahkamah kerana menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan dirinya sendiri.
"Maaf, bukan niat saya untuk menimbulkan persepsi negatif tetapi itu sejarah lampau,” katanya semasa Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu.
Muhyiddin turut mendakwa kepimpinan kerajaan kini cenderung untuk mengambil tindakan berbentuk ‘witch-hunting’ atau mencari kesalahan kerajaan dahulu yang sebenarnya tidak wujud.
Jelasnya, tuduhan yang dilemparkan juga tidak masuk akal.
"Kononnya saya seleweng RM600 bilion. Kemudian turun nilainya kepada RM92.5 bilion dan selepas itu turun lagi kepada RM4 billion hingga RM5 bilion.
"Yang terakhir RM300 juta. Apa ini? Angka yang berubah-ubah ini keluar dari mulut Perdana Menteri sendiri.
"Seolah-olah Perdana Menteri pun tidak pasti apa yang dia tuduh. Kalau tidak pasti, jangan tuduh sembarangan,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan Anwar yang ALLAH SWT Maha Kuasa yang boleh menarik kekuasaan daripada sesiapa yang Dia mahu.
"Tiada kuasa yang kekal melainkan kekuasaan ALLAH SWT jua. Kuasa saya sebagai Perdana Menteri tidak kekal.
"Kuasa Tambun sebagai Perdana Menteri juga tidak akan kekal selama-lamanya. Pesan saya, janganlah apabila diberikan kuasa, ia digunakan untuk membalas dendam politik dengan mencari kesalahan yang tidak wujud.
"Politik dendam ini akan menghasilkan kesan yang amat buruk. Dengan izin, Tuan Yang Dipertua, ‘this politics of vengeance will rear its ugly head’,” katanya.