Sektor ekonomi perlu terima pakai pendigitalan, inovasi

Iklan
Sivakumar - Foto Bernama

PETALING JAYA - Semua sektor ekonomi perlu menerima pakai pendigitalan dan inovasi untuk memangkin pertumbuhan dan mencapai kelebihan daya saing, kata Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.

Beliau berkata, pihak kementerian akan terus menyokong sektor perniagaan berbuat demikian menerusi pelaksanaan pelbagai aspek perundangan berkaitan pekerjaan yang bersesuaian dari segi pengambilan pekerja, gaji dan pembangunan kemahiran, selain memberi tumpuan kepada usaha bagi memenuhi keperluan sumber manusia negara dengan memastikan permintaan untuk buruh dipenuhi dengan memuaskan.

Iklan
Iklan

Katanya, penggunaan teknologi digital adalah selaras dengan aspirasi untuk menggerakkan Malaysia mara melangkah ke arah mencapai negara berpendapatan tinggi dan berteknologi tinggi sebagaimana yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Sebagaimana yang ditetapkan dalam RMK12, pemindahan daripada ekonomi berpendapatan pertengahan kepada ekonomi berpendapatan tinggi memerlukan perniagaan merentasi industri mengguna pakai teknologi baharu terutama teknologi dan amalan inovatif 4IR (IR4.0-Revolusi Industri Keempat), bagi meningkatkan produktiviti pekerja dan rantaian nilai,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di perasmian Persidangan HRiTECH di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud.

Iklan

Menyedari peranan penting yang dimainkan dalam melahirkan tenaga kerja digital yang berbakat dan cekap, Sivakumar berkata, Kementerian Sumber Manusia akan terus melaksanakan Pelan Tindakan Ekonomi Digital dan Dasar 4IR Negara.

Beliau bagaimanapun berkata, membangunkan bakat digital bukanlah satu tugas yang mudah dan ia dibayangi oleh beberapa isu yang memerlukan perhatian semua pihak berkepentingan, umpamanya yang berkaitan dengan kualiti graduan dan ketidakcekapan mereka, peralatan dan teknologi usang, kekangan kewangan di samping modul latihan yang tidak berkaitan.

"Terdapat juga beberapa institusi latihan kemahiran yang bergelut untuk mendapatkan pemahaman mendalam mengenai keperluan industri semasa dan masa depan terhadap kemahiran digital, di samping menghadapi kesukaran dalam membangunkan perkongsian strategik dengan industri bagi melatih bakat yang sudah bersiap sedia di masa depan,” katanya. - Bernama