Kaum Tionghua teruja berpeluang masuk masjid

Iklan
27 keluarga masyarakat Tionghua bergambar bersama pengurusan masjid selepas selesai majlis diadakan.

KEPALA BATAS - Masyarakat Tionghua dari beberapa kawasan perumahan di sini teruja selepas berpeluang untuk masuk ke Masjid Abdullah Fahim, di sini yang menjadi salah satu mercu tanda di kawasan Kepala Batas.

Malah mereka turut dibawa melihat dengan lebih dekat fasiliti dan aktiviti yang diadakan di masjid berkenaan termasuk ditunjukkan cara berwuduk dan solat.

Iklan
Iklan

Suri rumah, Tan Cheng Heong, 49, berkata, sebelum ini dia hanya melihat dari jauh sahaja struktur bangunan itu namun tidak menyangka berpeluang untuk masuk ke dalam rumah ibadat masyarakat Islam.

Menurutnya yang tinggal di Taman Mekarsari di sini, seni bina menarik masjid berkenaan membuatkan dia sebelum ini teringin untuk melihat dengan lebih dekat

Iklan

"Memang peluang dan jemputan ini takkan saya lepaskan kerana sebelum ini setiap kali lalu hanya dapat tengok dari jauh sahaja.

"Bila berpeluang masuk dan tinjau kawasan sekitar masjid saya rasa tenang kerana suasana yang kemas dan bersih selain kami disambut mesra oleh orang masjid di sini," katanya ketika ditemui media di sini, pada Rabu.

Iklan

Cheng Heong antara 27 keluarga Tionghua yang diraikan dalam Majlis Sumbangan Komuniti Cina Dibawah Kariah Masjid Abdullah Fahim di sini.

Sumbangan disampaikan oleh Imam Utama, Mohd Lukmanul Hakm Mokhtar.

Hadir sama, Bekas Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPK) Kampung Selamat, Wong Soon Ping.

Mohd Lukmanul memberi penerangan mengenai sejarah Masjid Abdullah Fahim kepada pengunjung yang hadir.

Seorang lagi penduduk, Tan Chye Tin, 60, pula menyifatkan program yang diadakan ini wajar dicontohi kerana ia antara usaha untuk bukan sahaja mengeratkan hubungan malah dapat mengukuhkan lagi semangat perpaduan antara kaum di sini.

Dalam pada itu, Chye Tin turut berterima kasih kepada pengurusan masjid berkenaan yang prihatin dengan nasib menimpa keluarganya selepas rumahnya terbakar dalam kejadian pada 10 Julai lalu.

"Walaupun berlainan agama dan bangsa namun pengurusan masjid ini tetap mengambil berat dengan nasib saya.

"Saya amat hargai sumbangan dan bantuan yang diberikan oleh pihak masjid sebelum bantuan lain tiba," katanya.

Bagi Soo Ping pula, penganjuran program seperti ini dilihat mampu mengubah persepsi masyarakat bukan Islam terhadap agama Islam selain dapat mengeratkan hubungan harmoni.

"Bukan sahaja dapat mengetahui sejarah dan maklumat mengenai masjid ini tetapi kami juga didedahkan mengenai cara mengambil wuduk dan solat.

"Ini satu pengalaman baharu buat kami," katanya.

Sementara itu, Mohd Lukmanul berkata, program julung kali diadakan itu bertujuan untuk menarik minat golongan bukan Islam supaya lebih mengenali agama Islam.

Beliau berkata, dengan pengalaman yang dirasai sendiri oleh pengunjung ia membuktikan agama Islam ini adalah agama pendamaian, agama yang sejahtera yang tidak menindas mana-mana bangsa dan agama lain.

Jelasnya, pengurusan masjid terlebih dahulu mendapatkan pandangan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Jabatan Mufti Pulau Pinang sebelum mengadakan program itu.

Tambah beliau, program sedemikian harus untuk dianjurkan seperti yang disarankan oleh kedua-dua agensi agama terbabit.