Penjaja warga asing di Pasar Selayang semakin kurang

Iklan
Isu warga asing yang tiada kesudahan sejak dahulu. (Gambar kecil dari kiri: Wan Anwar, Mohd Hafiz, dan Mohd Zin)

SELAYANG - Penjaja warga asing di sekitar Pasar Harian Selayang semakin berkurangan berbanding dahulu selepas beberapa langkah kawalan serta penguatkuasaan dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Wan Anwar Wan Ibrahim berkata demikian mengulas video tular Etnik Rohingya kembali 'jajah' Pasar Borong Selayang yang dibangkitkan Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Mohd Sophian Mohd Zain pada Isnin.

Iklan
Iklan

Wan Anwar berkata, pihaknya memahami kebimbangan dibangkitkan individu berkenaan dan wajar tindakan berterusan dilakukan bagi mengawal aktiviti tersebut.

Ujarnya, kawasan tersebut terletak di sempadan pentadbiran antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan MPS.

Iklan

"Operasi bersepadu babitkan semua agensi perlu diteruskan dan bukan hanya letak tanggungjawab itu kepada PBT tapi Imigresen dan polis juga perlu dilibatkan.

"Dahulu keadaannya lagi teruk namun dua ke tiga tahun kebelakangan ini banyak kawasan telah dibersihkan dan operasi perlu diteruskan serta berterusan untuk kawalan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Sementara itu, Ketua Kawasan Selayang Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan, Mohd Hafiz Mohd Sidik berkata, lokasi Selayang perlu dibersihkan daripada penjaja warga asing dengan memindahkan mereka ke lokasi lain.

Beliau mencadangkan, warga asing yang kebanyakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu tidak ditempatkan secara berkelompok sebaliknya diasingkan ke beberapa kawasan bagi memudahkan kawalan.

"Selain itu, wajar peraturan tegas buat kawalan warga asing. Penguatkuasaan lemah menyebabkan mereka berleluasa.

"Rakyat tempatan dikenakan pelbagai tindakan menyebabkan semua akur dan patuh, tetapi warga asing ini tidak cukup sekadar sita barang kerana mereka akan kembali berniaga keesokan hari," katanya.

Sementara itu, penduduk Selayang Baru, Mohd Zin Milin, 65, berkata, wajar kawasan sekitar Pasar Harian Selayang itu diuruskan oleh hanya satu PBT.

"Mereka (penjaja warga asing) bijak dan tahu sempadan. Apabila DBKL datang buat penguatkuasaan, mereka akan lari ke kawasan MPS dan begitu juga sebaliknya menyebabkan isu warga asing ini tidak berkesudahan.

"Stesen pemantau juga perlu diwujudkan dan berfungsi secara efektif melalui rondaan dan penguatkuasaan supaya warga asing takut untuk menjaja di sana," katanya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Etnik Rohingya dikesan menjadikan sekitar Pasar Selayang, di sini sebagai tempat berniaga termasuklah kawasan parkir dan simpang.

Mohd Sophian berkata, keadaan tersebut membimbangkan jika tiada tindakan secara drastik dilakukan oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, mengatasi permasalahan ini bukan hanya sekadar datang merampas barang meniaga semata-mata, namun tindakan tegas bermula dari akar umbi harus diambil.