HADIAH wang tunai keseluruhan bernilai RM20,000 menanti kira-kira 500 peserta Cabaran Joran Kuala Lumpur di Taman Tasik Ampang Hilir, Kuala Lumpur pada Ahad ini.
Bertemakan 'Wilayah Persekutuan Untuk Semua' yang membawa maksud kepada aspirasi JWP untuk menjadikan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai sebuah bandar yang mencerminkan nilai perpaduan, kesefahaman dan kekitaan seluruh komuniti di Wilayah Persekutuan itu sememangnya dinantikan 'kaki pancing' khususnya di ibu negara.
Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Khairul Azmir Ahmad berkata, Taman Tasik Ampang Hilir dipilih sebagai lokasi kerana keunikan tersendiri, selain dihuni pelbagai spesies ikan termasuk patin, tongsan dan toman yang seberat 10 hingga 28kg.
"Tasik ini menjadi sebutan kaki pancing apabila dalam pertandingan sebelum ini spesis patin seberat 28.00 kilogram pernah dinaikkan oleh peserta pertandingan selain spesis lain antaranya tilapia, patin, belida, toman, keli, ketutu serta ikan bandar raya dengan berat antara 100 gram (g) hingga 10 kilogram (kg).
"Selepas empat tahun tiada pertandingan di sini, ia kembali lagi dan tidak akan menghampakan pemancing di tasik ini daripada warga kota,” katanya ketika melepaskan lebih 500kg ikan pelbagai spesies, antaranya patin dengan berat antara 2 hingga 3kg di Taman Tasik Ampang Hilir hari ini.
Menurutnya, Taman Tasik Ampang Hilir mempunyai keunikan tersendiri kerana pelbagai spesies ikan termasuk patin, tongsan, rhu, keli, tilapia dan toman dengan berat antara lapan hingga 18kg menanti 'kaki pancing'.
Malah, beliau memberitahu, selain memancing, peserta juga berpeluang beriadah serta menikmati keindahan kawasan tasik bersama ahli keluarga masing-masing.
Juara pertandingan akan membawa pulang wang tunai RM5,000, naib juara (RM2,000), ketiga (RM1,000), ke-4 hingga 10 (RM200), ke-11 hingga 20 (RM150) dan tempat ke-21 hingga 100 (RM100 setiap seorang).
"Hadiah khas untuk pemenang ikan keli turut disediakan sehingga ditempat ke ke lima serta hadiah cabutan bertuah, antaranya dua unit TV 32 inci serta barangan peralatan memancing menanti peserta,” katanya lagi.
Yuran RM50 dikenakan untuk sebatang joran dan 500 penyertaan awal akan menerima T-Shirt sumbangan penaja pada Cabaran Joran Kuala Lumpur yang dianjurkan DBKL.
Pendaftaran boleh dibuat di meja urus setia di lokasi pertandingan Sabtu mulai jam 3 petang hingga 9 malam dan keesokannya kaunter dibuka dari jam 6.30 pagi hingga 10 pagi.
Orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut berkaitan pertandingan ini boleh menghubungi urus setia di talian 013-2661077, 013-3052811 atau 012-2846811 atau melayari laman sosial facebook.com/jorankl .