KUALA LUMPUR - Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa dakwaan pemberian kontrak bernilai RM1 bilion kepada menantunya adalah fitnah.
Kenyataan itu dibuat setelah diasak Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang memintanya menjawab dakwaan berkenaan semasa Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu.
"Itu adalah satu fitnah dan pembohongan. Tak apa, kita akan ambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.
Keadaan menjadi kecoh seketika apabila Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) meminta Ahli Parlimen Pagoh itu menyaman individu yang terlibat jika ia adalah satu fitnah.
Muhyiddin sebelum itu menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang bangun mencelah dan bertanyakan tindakan kerajaan ‘membekukan’ sekitar 20 pegawai kanan kerajaan yang kini diletakkan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
"Saya fikir, ia tak wajar. Saya ingat lagi semasa saya di sebelah sana dalam PH dulu, lapan menteri nak tukar ketua setiausaha kementerian. Kementerian saya, saya tak tukar sebab penjawat awam ini bersikap profesional.
"Kenapa kita nak tukar mereka? Kenapa kita nak masukkan mereka dalam peti ais, bekukan jawatan-jawatan tertinggi. Macam mana kerajaan nak bekerja? Ini langkah yang tidak adil dan tidak bertanggungjawab,” ujar beliau.
Jelas Muhyiddin, sebarang tindakan terhadap penjawat awam perlu melalui proses dan prosedur yang ketat.
Penjawat awam yang melakukan kesalahan katanya, boleh dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin dan bukannya terus dibekukan.
"Yang Berhormat menteri ini, siapa yang bantu? Takkan anak sendiri duduk dalam pejabat nak bantu. Apa pengalamannya? Tidak tahu apa pun,” katanya.