Pesara jurutera, peneroka Felda jadi mangsa scammer

Iklan

KUANTAN - Dua lelaki warga emas membuat laporan polis mendakwa menjadi mangsa penipuan individu menyamar polis dan pegawai Bank Negara membabitkan nilai kerugian keseluruhan hampir RM60,000.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kejadian berasingan itu melibatkan pesara jurutera dan peneroka Felda dari Kuantan dan Pekan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kes melibatkan pesara jurutera berusia 60 tahun berlaku selepas dia menerima pesanan dari Sistem Pesanan Ringkas (SMS) memaklumkan kad kredit atas namanya telah digunakan untuk pembayaran e-Tomei sebanyak RM2,850 pada 9 Januari lalu.

"Mangsa telah menghubungi suspek menggunakan nombor telefon diberikan untuk mendapatkan pengesahan sebelum talian kononnya disambung ke Bank Negara untuk semakan.

Iklan

"Mangsa diarah menyerahkan maklumat akaun bank, nombor kad bank dan nombor pengesahan transaksi (TAC) kepada suspek," katanya.

Ramli berkata, mangsa akur dan menyerahkan semua maklumat berkenaan sebelum menyedari wang dalam akaun banknya berkurangan hampir RM30,000 selepas tiga hari.

Iklan

"Dalam kes berasingan, peneroka Felda berusia 73 tahun dihubungi 'pegawai polis' mendakwa dia dikehendaki berkait kes gagal membayar cukai pendapatan dan terlibat aktiviti pengedaran dadah.

"Bimbang berdepan tindakan undang-undang, mangsa memindahkan wang dalam akaun banknya berjumlah RM30,000 ke akaun suspek selepas diarahkan bagi menyelesaikan kes itu sebelum menyedari ditipu," katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan membuat semakan dengan pihak polis sekiranya menerima panggilan meragukan yang mendakwa mereka terlibat dengan sebarang kes jenayah.

"Semakan nombor telefon dan akaun bank yang diterima juga boleh dibuat melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my bagi mengelak ditipu," jelasnya.