PUTRAJAYA - Dasar berhubung penggajian rakyat akan dibawa ke mesyuarat pertama Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dijangka diadakan pada bulan depan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, dasar tersebut membabitkan gaji yang perlu diselaraskan ke arah satu sasaran pertumbuhan gaji yang menyeluruh kepada semua golongan pekerja.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, kementeriannya akan mengimbangi tumpuan untuk menstrukturkan ekonomi negara dengan keperluan rakyat berhubung kos sara hidup dan gaji yang lebih baik dalam merangka perancangan ekonomi.
"Penetapan dasar besar ekonomi seperti membabitkan gaji dan struktur ekonomi, ianya melibatkan semua peringkat dan proses itu mengambil masa sedikit kerana kita perlu pastikan libat urus selain berbincang dengan sektor swasta dan perlu mengharmonikan dengan peraturan sedia ada.
"Paras gaji rakyat di negara ini masih belum sampai ke peringkat sepatutnya, yang mana rakyat boleh menikmati gaya hidup lebih baik," katanya pada sidang media mengenai Prestasi Ekonomi Malaysia dan Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar 2022 di sini, hari ini.
Rafizi berkata, oleh itu kementeriannya akan memastikan program ekonomi yang dilaksanakan bukan saja membantu rakyat dengan menambah pendapatan, tetapi memperbaiki struktur ekonomi. - Bernama