Pengedar dadah rempuh 4 kenderaan cuba lari daripada polis

Iklan
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR - Seorang duda anak tiga dipercayai pengedar dadah ditahan dalam Operasi Baccharis di sini pada Selasa.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan pada jam 5 petang di Jalan Klang Lama.

Iklan
Iklan

"Suspek berada di bawah pengaruh dadah yang memandu kereta jenis Nissan Cefiro telah bertindak agresif dengan merempuh empat buah kereta lain ketika cuba melarikan diri, namun tiada kecederaan jiwa yang berlaku," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Azmi berkata, polis turut merampas sejumlah dadah jenis syabu anggaran berat lima kilogram dan pil erimin 5.

Iklan

"Susulan tangkapan itu, kita menyerbu sebuah kondominium di Taman Desa serta merampas 14,600 pil erimin 5, nilai keseluruhan rampasan adalah RM452,000," katanya.

Antara dadah yang dirampas daripada suspek.

Beliau berkata, suspek telah bergiat aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak dua bulan lalu.

Iklan

"Suspek menjadikan kondominium mewah yang dikawal oleh pengawal keselamatan sebagai tempat penyimpanan dadah untuk mengaburi dan menyukarkan daripada dikesan oleh pihak berkuasa," katanya.

Menurutnya, bekalan dadah diperolehi daripada pengedar tempatan lain di Kuala Lumpur untuk pasaran di sekitar Ibu Kota.

"Suspek tidak memiliki pekerjaan tetap telah menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utama," katanya.

Azmi berkata, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau.

"Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Beliau berkata, suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 21 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 398 Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis Kuala Lumpur berharap warga kota terus menyalurkan maklumat supaya kegiatan jenayah di lbu Kota dapat diambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan Kuala Lumpur bebas daripada kegiatan jenayah dan dadah.

"Segala maklumat yang berkaitan dengan dadah boleh disalurkan melalui hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-2087222 yang beroperasi 24 jam," katanya.