SHAH ALAM - Tindakan kerajaan masa kini yang didakwa ‘mengorek’ cerita-cerita lama berhubung pemerintahan terdahulu disifatkan seolah-olah masih lagi menyimpan dendam lalu.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kerajaan seharusnya memberi fokus menyelesaikan masalah rakyat seperti kos sara hidup dan peluang pekerjaan di negara ini.
"Kami di pihak oposisi ini akan tolong kerajaan sebab rakyat harus diberi keutamaan tetapi dengan (tindakan) ‘mengorek’ kisah-kisah lama itu, tak apa buatlah sebab kita ada kuasa.
"Guna kuasa sebaiknya untuk keadilan tetapi kalau guna untuk kepentingan diri, tak apalah. Kuasa terakhir kami adalah kita sujud di tikar sembahyang memohon kepada ALLAH SWT supaya tidak dizalimi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam sesi program Sinar Live bertajuk ‘Shahidan: Otai Perlis masih berbisa’ yang dihoskan oleh Hazwan Mokhtar menerusi platform digital Sinar Harian pada Rabu.
Dalam pada itu, Shahidan turut mengulas berkaitan isu pemberian peruntukan yang didakwa tidak diagihkan kepada ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).
Ujarnya, kekurangan dari segi peruntukan itu memang memberi kesukaran kepada ahli-ahli Parlimen yang lain dalam usaha membantu rakyat dan membangunkan kawasan masing-masing.
"Kalau jadi pemerintah kerana nak bayar (dendam) kepada kerajaan dahulu, baik tak payah jadi pemerintah.
"Dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) menyebut yang kita akan memberi peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen, tetapi tengok bukan sahaja tak sama, tak rata pun,” ujarnya.