'Rakyat semakin bijak buat pilihan pada PRN'

Iklan
Salahuddin

JERLUN - Parti Amanah Negara (Amanah) percaya rakyat akan membuat pilihan bijak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) berdasarkan prestasi semasa dan komitmen yang diberikan Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, gelanggang pada PRN akan datang masih terbuka dan komitmen serta program yang digerakkan oleh kerajaan sekarang menjadi faktor penting yang dinilai oleh rakyat.

Iklan
Iklan

"Bagi kita gelanggang untuk bertarung di enam negeri itu (pada PRN) masih terbuka dan saya yakin dan percaya rakyat semakin bijak untuk menilai tentang prestasi walaupun kami baru masuk ke bulan yang kedua.

"Tapi saya yakin rakyat akan buat keputusan yang bijak. Apa yang diusahakan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh dua bulan ini adalah menjadi faktor penting untuk rakyat memberikan keputusan awal mereka," katanya pada sidang akhbar pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu bahawa Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) bakal menerima kekalahan besar pada PRN sebagai reaksi balas rakyat atas pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepada PN.

Salahuddin (belakang,tengah) bergambar bersama penerima sumbangan kembali ke sekolah di Pusat Peduli Rakyat DUN Kota Siputeh, Jerlun pada Rabu.

Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata demikian selepas Majlis Sumbangan Kembali Ke Sekolah di Pusat Peduli Rakyat DUN Kota Siputeh, dekat sini.

Iklan

Mengulas mengenai kenyataan Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pula bahawa gabungan parti yang mendukung kerajaan akan mengalami masalah dan berpecah semasa pembahagian kerusi pada PRN, beliau menafikan perkara tersebut.

"Kita tak pecah pun. Kita masih berpadu sampai hari ini. Kalau dia nak cakap pecah itu dialah.

"Kita dah bincang, dah ada satu pertemuan di peringkat tertinggi di PWTC, sudah rasmi. Sudah ada dua tiga sekretariat yang dibincangkan. Jadi kita terus ke hadapan. Kami tidak merasakan ada halangan untuk meneruskan kerjasama di antara PH dan BN," ujar beliau.