Kerajaan disaran laksana sistem penggal tetap Parlimen

Iklan

KUALA LUMPUR - Seorang ahli Parlimen pada Rabu mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan sistem penggal tetap Parlimen bagi memastikan sesebuah kerajaan yang dibentuk selepas pilihan raya dapat mengekalkan mandat rakyat selama lima tahun.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) berkata, ini dapat memastikan tata kelola negara jelas tanpa gangguan dan membendung ketidakstabilan politik sepanjang tempoh itu selain disokong amalan semak imbang oleh pihak pembangkang.

Iklan
Iklan

"Saya cadangkan kita wujudkan penggal tetap Parlimen supaya pentadbiran kerajaan jelas. Rakyat jelas untuk uruskan kehidupan dan perniagaan juga tenang. Apabila penggal Parlimen ini ditetapkan, semua tahu, tiada teka-teki, tidak ada yang nak tebuk atap, ikut pintu belakang tidak ada.

"Kita tetapkan lima tahun sebuah kerajaan yang diangkat, diberi mandat untuk mereka melaksanakan janji, tawaran dan manifesto mereka tanpa diganggu gugat," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu.

Iklan

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) pula berharap kerajaan dapat meneruskan pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) sehingga habis tempohnya.

Beliau meminta kerajaan tidak menganaktirikan negeri-negeri yang ditadbir oleh pembangkang atas faktor banyak projek strategik bersifat infrastruktur di negeri tersebut berpotensi menjadi pemangkin ekonomi negara telah diluluskan dalam RMK12.

Iklan

Sementara itu, Rodziah Ismail (PH-Ampang) mencadangkan supaya kerajaan membentuk jawatankuasa kabinet bagi membentangkan Kertas Putih ke arah penubuhan Majlis Pengurusan Cerun berteraskan Pelan Induk Cerun Negara untuk pengurusan, pemeliharan dan pemuliharan kawasan cerun.

"Kita bimbang jika isu berkaitan pengurusan cerun dan lereng bukit tidak ditangani,kita akan berdepan lebih banyak tragedi tanah runtuh," katanya. - Bernama