PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) seharusnya mengekalkan Kim Pan-gon sebagai pengurus Harimau Malaya selepas pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak berminat untuk mengisi jawatan tersebut.
Legenda bola sepak kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, Pan-gon yang memikul tugas itu sejak dilantik sebagai ketua jurulatih pada awal tahun lalu adalah individu paling layak untuk kekal mengisi kedua-dua jawatan tersebut.
Menurut Jamal Nasir, beliau langsung tidak melihat sebarang masalah dihadapi Pan-gon yang terbukti telah berjaya mengemudi skuad kebangsaan dengan baik setakat ini.
"Ia akan memberikan banyak kebaikan kepada Pan-gon untuk mengemudi pasukan, selain arahan-arahan tidak akan bercanggah dengan apa yang mahu dirancangnya.
"Tak perlu pening-pening, beri saja kepada Pan-gon. Lagipun, ia bukan isu penting yang perlu difikirkan FAM sekarang kerana kita ada perkara lebih besar iaitu mempersiapkan pasukan untuk Piala Asia nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Sebelum ini, timbul spekulasi Tunku Ismail dikaitkan untuk menjadi pengurus Harimau Malaya, namun Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu menyatakan tidak berminat dengan sebarang jawatan di FAM.
Untuk rekod, jawatan ketua jurulatih merangkap pengurus pasukan itu diperkenalkan FAM pada 2001 ketika zaman skuad Harimau Malaya dibimbing oleh Allan Harris.
Beberapa tahun kemudian, jawatan pengurus Harimau Malaya kerap dipegang oleh pegawai kanan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM.
Namun, Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya yang dipengerusikan Datuk Dell Akbar Khan pada Januari tahun lalu mahu amalan pelantikan pengurus pasukan dalam kalangan pegawai FAM dihentikan supaya ketua jurulatih mempunyai kuasa penuh.
Dalam pada itu, Jamal Nasir menyifatkan Tunku Ismail sudah pasti mempunyai alasan tersendiri untuk tidak memegang jawatan selaku pengurus Harimau Malaya.
"Yang penting, Tunku Ismail telah memberikan komitmen untuk membantu pasukan kebangsaan dari segi tempat latihan, peralatan dan sokongan moral. Itu sudah cukup baik,” ujarnya.