SHAH ALAM - Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membuktikan bahawa dirinya masih mempunyai aura dan pengaruh tersendiri apabila berjaya meraih sebanyak 5.78 juta interaksi (engagement) di media sosial pada hari pertama memulakan tugas sebagai penyampai Hot FM pada jam 6 hingga 10 pagi Rabu.
Sikap sporting dan ‘gila-gila’ yang ditampilkan Khairy atau mesra disapa KJ dalam mengendalikan slot Bekpes Hot bersama Johan dan AG, turut menggamatkan lagi suasana di konti radio berkenaan.
Malah jawapan spontan Khairy juga memecahkan suasana dalam konti radio apabila tangkas menjawab ‘usikan’ Johan dan AG lebih-lebih lagi berkaitan politik.
"Saya ingat menang sebab apabila pergi berkempen, ramai yang ajak ‘selfie’. Rupanya, saya kalah. Menang ‘selfie’ tapi kalah undi.
"Selepas kekalahan November lalu, saya tak tahu nak buat apa, memang buntu sebab fikir masa depan,” ujarnya.
Terus berkongsi kisah tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Khairy pada mulanya menyangka, biarpun kecundang, beliau akan diberi pencen untuk tugas menteri yang pernah digalasnya.
Namun, ujarnya, beliau perlu menunggu sehingga umur 50 tahun dan itu menyebabkan dirinya 'susah hati' dan alasannya memilih menjadi penyampai radio.
"Sangka saya, walaupun kalah dalam pilihan raya, saya akan dapat pencen untuk tugas-tugas menteri yang pernah saya pikul sebelum ini.
"Rupa-rupanya, saya kena tunggu hingga usia mencecah 50 tahun baru boleh dapat pencen. Sekarang, saya baru 47 tahun. Maknanya kena tunggu tiga tahun lagi.
"Disebabkan itu, saya terima tawaran untuk jadi DJ Hot FM ini,” katanya.
Dalam berkongsi perkara serius, Khairy juga sempat menyelit jenaka bahawa beliau perlu memakai produk kecantikan untuk mencerahkan kulit.
"Tati Skincare ni penaja kita ke? Dia boleh bantu saya tak untuk jadi fair (putih),” katanya.
AG pula berseloroh dengan mengatakan bahawa bekas Ahli Parlimen Rembau itu sudah mencukupi pakej iaitu tinggi, gelap dan kacak.
Penyampai radio itu turut ‘mengusik’ Khairy dengan bertanya apakah rutin pagi selepas tiada pekerjaan sekarang.
"Rutin pagi sekarang, Hot FM. Tapi sebelum ini, tidur. Tak ada (sedih atau depresi), sebab dah lama tak rehat jadi terpaksa direhatkan. Jadi kita pun rehatlah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Khairy turut menjelaskan beliau kini berehat buat sementara, bukan berhenti dari dunia politik.
"Sekarang ini take a break (rehat),” katanya.
Khairy juga menjawab persoalan AG, mengapakah beliau memilih bidang politik.
"Saya (dulu) belajar ekonomi dan politik di universiti di England.
"(Jadi) minat politik sebab suka bantu orang, maaf jawapan serius,” katanya.
Menerusi Facebook Hot FM, rata-rata pendengar teruja dan menyokong Khairy terus menjadi penyampai radio.
Antara komen yang diterima ialah daripada Fakharozi Celcom yang berkata:"Terbaikkkk KJ, ramai rakyat yang menyokong anda.”
"Populariti Hot FM melonjak bila KJ sebagai penyampai radio.
Bakal Perdana Menteri Malaysia,” kata Aaishah Latif.
Wan Mambra pula berkata:"Ini kualiti bukan kuantiti. Awak yang terbaik.”