KUALA LUMPUR - Isu penipuan tawaran pekerjaan melibatkan rakyat Malaysia dan langkah kerajaan bagi menangani kes berkenaan antara tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat, pada Khamis.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, soalan berhubung penipuan pekerjaan itu diajukan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) kepada Menteri Dalam Negeri pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri yang ingin tahu jumlah terkini rakyat Malaysia yang terlibat, jumlah diselamatkan dan yang dipercayai masih ditahan.
Turut tersenarai, soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengenai perancangan kerajaan dalam melaksanakan penyelenggaraan dan pembaikan infrastruktur serta kemudahan luar bandar pascabanjir.
Pada sesi soal jawab pula, Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mahu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menjelaskan langkah bagi meningkatkan semula kedudukan Malaysia dalam Indeks Keselamatan Makanan Global (GFSI) 2022.
Selain itu, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) meminta Menteri Kewangan menyatakan langkah kerajaan meningkatkan kadar dividen dalam membina semula caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada tempoh yang lebih pantas dengan mengambil kira strategi portfolio pelaburan jangka panjang serta risiko ekonomi global jangka pendek dan sederhana.
Selesai sesi itu, Ahli Dewan Rakyat akan mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 29 hari hingga 30 Mac ini. - Bernama