MELAKA - Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad mengesahkan hasratnya untuk menawarkan diri bertanding jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada pemilihan parti Mac depan.
Mohamad Ali yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata, keputusan itu dibuat memandangkan ketika ini di peringkat pusat telah melalui banyak perkara di mana segelintir pemimpin UMNO juga tidak menghormati institusi presiden.
Beliau juga berhasrat untuk membantu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan menerusi komposisi MKT.
"Ramai rakan di seluruh negara meminta saya menawarkan diri dan saya sahut cabaran itu kerana prinsip, kelantangan dan saya pemimpin yang tidak mudah dibeli serta diperkotak-katikkan," katanya ketika ditemui di Dataran Baitul Tariq Klebang, di sini pada malam Rabu.
Mohamad Ali yang akan mempertahankan jawatan ketua UMNO bahagian itu bersedia dan mengalu-alukan sekiranya terdapat calon lain yang ingin merebut jawatan berkenaan kerana parti itu mengamalkan sikap demokrasi dan sesiapa sahaja boleh bertanding.
"Saya percaya setiap individu yang bertanding mempunyai kelebihan masing-masing dan mahu bertanding secara sihat.
"Sebagai ketua UMNO bahagian, saya tidak mahu kedengaran perkara tidak baik, atau mengugut ketua-ketua cawangan kerana kita adalah keluarga besar UMNO Bahagian Tangga Batu," katanya.
Sabtu lalu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tangga Batu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin mengumumkan beliau akan merebut jawatan ketua UMNO bahagian itu pada pemilihan parti kali ini.