Kilang kitar semula tidak serik operasi secara haram

Iklan
Keadaan kilang kitar semula yang diserbu pihak berkuasa di Ijok, pada Selasa.

KUALA SELANGOR - Meskipun pernah diserbu sebelum ini, sebuah kilang kitar semula di Ijok, di sini masih tidak serik apabila terus mengulangi kesalahan sama apabila beroperasi tanpa lesen.

Kilang itu diserbu sepasukan anggota dan pegawai Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pada jam 10 pagi pada Selasa.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Penguatkuasa MPKS, Mohamad Lutfi Mislah Hudin berkata, kilang itu sebelum ini pernah dikenakan tindakan sitaan pada 19 Januari lalu.

Mohamad Lutfi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kilang itu semakin meningkatkan operasi memproses buangan terjadual seperti bahan buangan bateri kering, tembaga dan papan litar plastik.

Iklan

Tegas beliau, premis itu diarah tutup serta-merta dan dikenakan kompaun kerana ingkar arahan notis penutupan sebelum ini.

Selain itu, katanya, dua unit penjana kuasa elektrik dan satu jentera forklift disita bagi tindakan lanjut.

Iklan

Jelas Mohamad Lutfi, kes itu disiasat mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKS) 2007.

"Jabatan Kesihatan MPKS mengeluarkan dua kompaun kerana membiarkan bangunan atau tanah dalam keadaan kotor dan mengalirkan kumbahan ke parit berdekatan," kata beliau.

Tambahnya, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) juga membantu proses pemotongan bekalan air premis terbabit.

Katanya, JAS turut mengambil tindakan undang-undang mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Pemilik kilang itu dinasihatkan berpindah ke kawasan industri berat kerana aktiviti kitar semula di bawah kategori tersebut," ujarnya.