ALOR SETAR - Bunyi dentuman kuat mengejutkan sebuah keluarga yang sedang berehat di Taman Mergong Jaya, di sini, dalam kejadian ribut kira-kira jam 2 petang pada Rabu.
Siti Masita Mat Isa, 38, berkata, kejadian tersebut menyebabkannya bergegas keluar dari bilik tidur untuk memeriksa bunyi seakan-akan letupan mercun tersebut.
Menceritakan kejadian cemas itu, ibu kepada empat anak itu berkata, dia berasa takut dan panik kerana rumahnya seakan-akan bergegar secara tiba-tiba.
"Walaupun ketakutan, saya tetap keluar dari bilik untuk memeriksa dan mendapati ruang tamu rumah berselerak dengan siling jatuh ke lantai dan bumbung rumah pula tiada.
"Mujurnya, anak-anak tidak bermain di ruang tamu seperti kebiasaanya pada hari kejadian, sebaliknya berada di bilik tidur," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya pada Khamis.
Rumah Siti Masita antara enam kediaman di taman perumahan itu yang mengalami kerosakan terutamanya bahagian bumbung akibat dilanda ribut.
Menurut pengusaha kuih-muih itu, dia bagaimanapun bersyukur kerana mereka sekeluarga selamat meskipun mengalami kerugian teruk akibat kerosakan siling dan bumbung rumah dalam kejadian ribut tersebut.
"Cumanya, sekarang rasa takut hendak duduk rumah sebab setiap kali dengar angin menderu, saya bimbang siling rumah yang telah rosak akan runtuh kerana tidak mampu membaiki kerosakan itu lagi.
"Jadi, saya tidak benarkan anak bermain di ruang tamu, selain tidak berani membuka kipas disebabkan ia boleh jatuh bila-bila masa sahaja," katanya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa ribut, Mohd Faizal Hashim,33, berkata, kejadian ribut itu berlaku sekelip mata dan tanpa disangka-sangka hingga menerbangkan sebahagian bumbung di ruang tamu rumahnya.
Menurut Mohd Faizal, dia dan isteri tidak sempat berbuat apa-apa dan hanya mampu menyelamatkan diri selepas dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat itu.
"Dalam tempoh dua minit sahaja, saya dan isteri mendapati bumbung rumah sudah diterbangkan angin ke kawasan luar pagar dan banyak bahagian alami kerosakan," katanya.
Menurut suri rumah, Nurul Ashikin Abu Seman, 37, dia ada bersama anak perempuannya, Puteri Nur Jannah Mohd Abdul Azim, 6, berada di rumah sewaktu kejadian itu.
"Memang takut sebab tidak pernah dengar bunyi sekuat itu, jadi kami cuba mampu melarikan diri ke tempat selamat dan mujurnya tiada apa-apa," katanya.
Katanya, dia menyangka kerosakan hanya berlaku pada bahagian bumbung depan rumah, namun rupa-rupanya bahagian lain turut diterbangkan angin.
"Kami sudah membaiki kerosakan pada bahagian bumbung di kawasan bilik dengan menggantikan bumbung baharu dengan kos sekitar RM300, cuma bahagian bumbung hadapan masih belum dapat dibaiki," katanya.