SYARIKAT air mineral beroksigen semula jadi pertama di Malaysia, BubblesO2 menjadi penaja baharu Liga Malaysia (Liga-M) 2023 selepas menandatangani kontrak perjanjian selama setahun pada Khamis.
Ketua Pegawai Eksekutif BubblesO2 Sdn Bhd, Ain Azizah Arifin percaya BubblesO2 dapat menyumbang sesuatu bagi memberikan sokongan kepada kelab-kelab Liga-M seperti yang pernah dilakukan ketika menjadi penaja kepada beberapa sukan lain sebelum ini.
"Sebenarnya ini bukan kali pertama kami bekerjasama dalam aktiviti sukan di mana BubblesO2 pernah menjadi penaja pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing untuk Kejohanan CubPrix Kebangsaan (2018-2020), Sukan Malaysia (SUKMA 2022) bagi pasukan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Pasukan Baseball Kebangsaan (2022) serta Kejohanan Silat Dunia 2022.
"Malah pelawaan dari Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC) kepada kami sebagai minuman rasmi bagi sukan permotoran negara bagi musim 2023 adalah bukti jelas penerimaan warga sukan terhadap BubblesO2.
"Walaupun ini kali pertama kami membabitkan diri dalam sukan bola sepak, BubblesO2 positif dengan pengalaman yang ada dapat memberikan kelebihan dan manfaat kepada semua terutamanya kepada barisan pemain Liga Malaysia," katanya dalam majlis menandatangani kotrak penajaan antara Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan syarikat BubblesO2 di sebuah hotel pada Khamis.
Dalam pada itu, Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menyifatkan kehadiran BubblesO2 dalam kancah bola sepak tempatan akan dapat membantu pasukan terutamanya pemain yang mementingkan penghidratan sepanjang masa.
"Saya mewakili Ahli Lembaga Pengarah, rakan kongsi liga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada BubblesO2 atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan mereka untuk saingan Liga Malaysia musim ini.
"Saya percaya kolaborasi ini akan memberikan manfaat kepada semua pihak dengan liputan meluas Liga Malaysia di negara ini bakal mengukuhkan lagi jenama BubblesO2,” katanya.