Tiada saingan PRN, BN perlu keluar kenyataan rasmi

Iklan
Pengerusi BN perlu mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai keputusan parti itu soal kerjasama dengan PH bagi menghadapi PRN akan datang. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Koin Voon)

SEREMBAN - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai keputusan parti itu soal kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Siow Koi Voon berkata, ini kerana setakat ini keputusan terbabit hanya diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sahaja.

Iklan
Iklan

"Ia satu keputusan besar dan semua pimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu mengeluarkan kenyataan bersama.

"Sebelum Loke Siew Fook keluar kenyataan itu, saya ada dengar mengenainya tetapi ia belum rasmi. Sebaiknya keluar kenyataan bersama supaya semua ahli parti jelas," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Siew Fook yang dilaporkan berkata, parti dalam Kerajaan Perpaduan mencapai kesepakatan untuk tidak saling bersaing dalam PRN di enam negeri.

Malah kata Koi Voon, dalam mesyuarat khas yang diadakan dengan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong minggu lalu, beliau memberitahu soal perundingan kerusi secara rasmi dengan Kerajaan Perpaduan belum bermula.

Iklan

Bagaimanapun ujarnya, MCA Negeri Sembilan menyokong keputusan itu namun dengan syarat MCA tidak terkecuali diberikan kerusi untuk bertanding.

"Berapa jumlah kerusi dan di mana kita bertanding, itu terserah kepada pimpinan tertinggi parti untuk berunding, tapi kita mahu diberi kerusi," katanya.

Tambahnya, Kerajaan Perpaduan itu jangan sekadar pada nama saja sebaliknya ia juga perlu diterjemahkan dalam pembahagian kerusi.