Kemuka segera senarai pegawai diletak dalam ‘peti sejuk’

Iklan
Mohd Radzi - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa supaya mengemukakan jumlah pegawai kanan kerajaan yang ditempatkan di dalam ‘pool’ atau peti sejuk selepas Kerajaan Perpaduan mengambil alih pentadbiran negara November tahun lalu.

Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) berkata, jumlah yang perlu dikemukakan itu perlu mengikut gred dan senarai pegawai kanan JUSA B ke atas yang terlibat dalam pertukaran kementerian.

Iklan
Iklan

"Tindakan kerajaan PH-BN meletakkan beberapa orang pegawai tertinggi perkhidmatan awam ke dalam ‘pool’ atau peti sejuk adalah tindakan yang amat tidak wajar.

"Ada juga Ketua Setiausaha (KSU) kanan yang terbukti menjalankan tugas dengan cemerlang diletakkan di kementerian yang jauh lebih kecil dengan jawatan yang tidak setara.

Iklan

"Saya amat bersimpati dengan apa yang berlaku kepada mereka. Apakah salah mereka? Jika tidak ada kesalahan yang dibuktikan, mengapakah hukuman telah dijatuhkan lebih awal?,” katanya ketika membahaskan Usul Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.

Tambah Mohd Radzi lagi, tindakan yang dilakukan itu jelas satu kerugian kepada negara kerana khidmat dan kepakaran mereka tidak digunakan secara optimum.

Iklan

Selain itu katanya, keputusan yang dibuat itu juga tidak adil kerana memberi gambaran negatif mereka telah membuat satu kesalahan yang besar atau prestasi perkhidmatan mereka amat teruk.

"Anggota perkhidmatan awam telah dilatih untuk melaksanakan amanah mengikut perancangan kerajaan semasa tanpa mengira parti mana yang menjadi pemerintah atau siapa yang menjadi Perdana Menteri.

"Oleh itu, kepercayaan kepimpinan kerajaan kepada anggota perkhidmatan awam adalah amat penting dalam memastikan penyampaian khidmat yang terbaik kepada rakyat,” katanya.