MPS kesan pemilik tanah jadikan penempatan PATI

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai penempatan haram yang telah didirikan sejak tujuh atau lapan tahun lalu.

SEPANG - Status tanah di sebuah lokasi hutan serta berbukit yang terletak di Royale Palace dan Tasik Cyberjaya, dekat sini akan disemak dalam masa terdekat bagi dikenal pasti pemiliknya.

Lokasi tersembunyi tersebut dijadikan perkampungan haram oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) melibatkan beberapa buah perkampungan kecil dengan menempatkan hampir 100 individu.

Iklan
Iklan

Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Datuk Abd Hamid Hussain berkata, pihaknya kini sedang berusaha mendapatkan lokasi sebenar operasi yang dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama beberapa agensi penguat kuasa lain pada awal pagi Rabu itu.

Beliau berkata, berhubung operasi bersama JIM dan beberapa agensi lain menyerbu lokasi penempatan haram PATI di lokasi itu, pihak MPS tidak dimaklumkan tentang operasi tersebut.

Iklan

"Namun sekiranya tapak tersebut milik individu atau persendirian atau juga pihak pemaju, maka pihak MPS akan mengeluarkan arahan agar pemilik tanah memulihkan dan merobohkan penempatan tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pihak MPS sedang meneliti lokasi penempatan haram PATI di Cyberjaya, sebelum mendapat pengesahan status tanah daripada pejabat tanah.

Pada awal pagi Rabu, JIM bertindak menyerbu lokasi terletak di Royale Palace dan Tasik Cyberjaya yang dijadikan lokasi penempatan haram PATI.

Iklan

Berdasarkan risikan dilakukan, penempatan haram itu telah didirikan sejak tujuh atau lapan tahun lalu.

Kawasan tersebut bagaimanapun seakan 'terselindung dan tersembunyi' kerana berada di dalam hutan dan kawasan berbukit.

Namun persembunyian haram yang seakan kebal sebelum ini akhirnya terbongkar setelah penguat kuasa menerima laporan daripada orang ramai.