KEMAMAN - Dua beranak maut manakala dua lagi saudara mereka parah apabila kereta dinaiki melanggar belakang lori membawa muatan kayu dalam nahas di Kilometer 312 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berdekatan susur keluar Plaza Tol Kijal.
Dalam nahas kira-kira jam 5.30 petang tadi, wanita warga emas, Rahemah Daud, 61, dan anaknya Noradawiah Salihudin, 26, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, akibat kejadian itu, adik Rahemah, Rohani Daud, 56, patah kaki kiri dan anaknya yang memandu kereta itu, Samsul Fajeri Sudarman, 23, mengalami luka di kepala dan muka.
Katanya, ketika kejadian empat beranak itu menaiki Perodua Myvi dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan dan lori muatan kayu getah juga menuju arah sama.
"Setibanya di lokasi kejadian ketika pemandu lori itu Shahrul Nizam Abdulah Sani, 43, sedang memandu di lorong kiri, tiba-tiba belakang lorinya dirempuh Perodua Myvi berkenaan.
"Lori itu kemudian memberhentikan kenderaan di sebelah kiri dalam jarak kira-kira 50.8 meter di hadapan manakala kereta itu yang berkeadaan remuk teruk terhenti di tengah-tengah jalan," katanya.
Katanya, ketika kejadian Noradawiah duduk di kerusi penumpang depan manakala ibunya duduk di kerusi belakangnya.
Nahas itu berlaku ketika keluarga itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kuantan selepas pergi ke Dungun.