AMPANG - Sebuah banglo dua tingkat yang sedang dalam proses pembinaan dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kerana didirikan tanpa kebenaran.
Difahamkan, rumah dibina di kawasan berlereng berhampiran Jalan Dato Mufti 10, Kampung Dato Mufti berstatus tanah kerajaan.
Bahagian Perhubungan Awam dan Sekretariat MPAJ dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima banyak aduan serta bantahan penduduk berhubung pembinaan rumah berkenaan sejak 2017.
Menurutnya, beberapa notis dan arahan telah dikeluarkan kepada pemiliknya supaya mengemukakan surat dan pelan kelulusan bangunan serta menghentikan sebarang binaan di kawasan itu.
"Pemilik struktur gagal berbuat demikian. Pada 2018, MPAJ telah melaksanakan operasi perobohan sebahagian struktur rumah dan sitaan bahan binaan.
"Bagaimanapun, pemilik struktur tetap meneruskan pembinaan rumah di lokasi tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Ujar kenyataan itu, MPAJ pada 28 Oktober lalu telah mengeluarkan Notis 72(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Akta 133) atas kesalahan mendirikan bangunan tanpa kelulusan kebenaran merancang dan pelan bangunan.
"Berdasarkan notis, pemilik struktur perlu membuka struktur yang telah dibina dalam masa yang ditetapkan namun tiada sebarang tindakan dilakukan.
"Susulan itu, MPAJ bertindak melaksanakan kerja-kerja perobohan struktur rumah tersebut pada Selasa," ujar kenyataan itu.
Katanya, mana-mana pihak yang ingin mendirikan struktur bangunan dinasihatkan untuk mengemukakan permohonan dan mendapatkan kelulusan daripada MPAJ terlebih dahulu sebelum sebarang kerja dilaksanakan.
"MPAJ ingin menegaskan bahawa perbuatan mendirikan sebarang struktur atau bangunan tanpa kelulusan kebenaran merancang dan pelan bangunan adalah satu kesalahan.
"MPAJ akan mengambil tindakan sekiranya pemilik gagal mematuhi notis yang dikeluarkan," katanya.