PUTRAJAYA - Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid mendedahkan terdapat dua isu tertunggak yang belum dapat diselesaikan sehingga ke hari ini.
Beliau berkata, isu terbabit melibatkan tuntutan pampasan tanah bagi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA Terminal 2) dan pampasan tanah bagi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Pulau Pinang.
"Isu tuntutan pampasan syarikat kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) bermula sejak 2016, ada tiga isu dalam status tindakan dengan langkah penyelesaian diperingkat rundingan antara kementerian dan syarikat terlibat.
"Kita tidak menetapkan tempoh kepada kementerian atau jabatan untuk susulan isu audit kerana ia rumit dan melibatkan pelbagai pihak, memakan masa.
"Selain itu kes terlibat ada implikasi kepada kerajaan dan babitkan kos yang tinggi. Kita akan memantau isu itu sehingga selesai,” katanya pada sesi taklimat bersama media mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 Tahun 2021 pada Khamis.
Dalam pada itu Nik Azman berkata, isu tuntutan pampasan pembinaan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah tertunggak sejak 2017 dan belum diselesaikan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.
Jelas beliau, ia mengambil tempoh masa yang lama untuk diselesaikan ekoran kelewatan tindakan yang biasanya ada kaitan dengan penstrukturan kementerian, rombakan kabinet dan komponen bertanggungjawab berpindah ke kementerian lain.
"Kita tegur kementerian ini tetapi kementerian pula bergantung kepada kementerian lain, jadi isu tidak boleh diselesaikan sehingga kementerian terbabit selesai. Urusan kerajaan melibatkan pelbagai pihak dan bukan sahaja satu kementerian, sebab itu lambat.
"Kelewatan juga berlaku akibat sesetengah pihak yang tidak memahami kehendak audit. Ada juga perkara yang tidak boleh selesai namun kami akan bincang bagaimana untuk harmonikan supaya boleh selesai,” katanya.
Sementara itu mengenai tindakan susulan isu audit LKAN Tahun 2011 hingga LKAN 2021 Siri 1, Nik Azman memaklumkan, terdapat 10,910 isu dikesan melibatkan peringkat Persekutuan dan negeri dengan 93.7 peratus atau 10,221 isu daripadanya telah diselesaikan manakala 689 isu masih dalam tindakan.
Menerusi sistem paparan susulan laporan audit AGDashboard, ia memaparkan tiga tanda iaitu merah bagi menggambarkan tiada tindakan, kuning (dalam tindakan) dan hijau (selesai).