Pemain industri 3 negara sepakat kukuh keselamatan makanan

Iklan
Dari kiri; Melissa, Satoshi dan Cheng selepas menandatangani MoU antara Sustainble Food Asia (Jepun) dan Innovate 360 (Singapura) bersempena dengan Sustainable Food Camp 2023 di RekaScape, Cyberjaya pada Khamis.

CYBERJAYA - Pemain industri dari Malaysia, Jepun dan Singapura menjalinkan kerjasama bagi melestarikan serta memperkukuhkan keselamatan makanan di rantau ini terus terjamin menjelang 2050.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Impact Circle, Melissa Ong berkata, kerjasama berkenaan mampu membawa industri makanan negara ke tahap yang lebih baik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, negara juga bakal menjadi hub inovasi makanan Asia Tenggara memandangkan negara ini mempunyai kawasan untuk mengembangkan industri agrikultur.

"Kerjasama ini membolehkan kita menjalankan penyelidikan termasuk membawa masuk teknologi dari Jepun dan pelabur dari Singapura untuk memperkukuhkan kelestarian makanan bukan sahaja untuk rakyat negara ini bahkan seluruh rantau ini.

Iklan

"Malah kesediaan beberapa universiti tempatan yang mempunyai kepakaran dalam bidang agrikultur, teknologi serta sains makanan untuk turut juga amat dialu-alukan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Sustainble Food Asia (Jepun) dan Innovate 360 (Singapura) bersempena dengan Sustainable Food Camp 2023 yang berlangsung selama tiga hari di RekaScape di sini pada Khamis.

Iklan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sustainble Food Asia, Satoshi Umino berkata, program yang diadakan dapat memberi peluang kepada peserta untuk berkongsi pengetahuan, kepakaran kerana Malaysia terkenal dengan industri makanan halal.

"Kita dapat berkongsi kelebihan pemain industri dari ketiga-tiga negara menerusi penganjuran julung kali Sustainable Food Camp hari ini," katanya.

Difahamkan terdapat 35 pemain industri makanan dari Malaysia, Singapura, Jepun dan Indonesia terlibat dalam program anjuran bersama Leave a Nest Malaysia Sdn Bhd dan Sustainable Food Asia Inc.

Pengarah Urusan Innovate 360, John Cheng mengakui sumber air, sayur-sayuran dan pelbagai makanan untuk rakyat Singapura adalah datang dari Malaysia.

"Jadi kerjasama sekali gus dapat membantu menjadikan Malaysia sebagai hub pengeluaran makanan berasaskan agrikultur dan kita bersedia untuk bekerjasama," katanya.