SHAH ALAM - Sejumlah RM7,224 berjaya dikumpulkan dalam tempoh tiga hari oleh pihak pengurusan Surau Al Jannah, Seksyen 23 di sini bagi menyalurkan sumbangan buat mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria menerusi Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x SyriaCare.
Ahli Jawatan Kuasanya Surau Al Jannah, Ab Razak Shamsuddin berkata, pihaknya terpanggil untuk mengadakan kutipan khusus untuk kedua-dua negara yang terlibat setelah mengetahui mengenai inisiatif tabung berkenaan yang dihebahkan di akhbar Sinar Harian.
Menurutnya, kutipan derma berkenaan telah dilancarkan pada Jumaat lalu.
"Melihat kepada perkongsian tentang tabung derma itu, pihak kami turut berbincang masa yang terbaik untuk mengadakan kutipan derma.
"Jadi kami memilih hari Jumaat (10 Februari) untuk melancarkan tabung kutipan derma dan durasi sumbangan dilakukan selama tiga hari sehinggalah hari Ahad (12 Februari) dan jumlah wang yang berjaya kami kumpul adalah sebanyak RM7,224,” katanya ketika menyerahkan cek di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis.
Dalam pada itu, Ab Razak berkata, pihaknya yakin untuk menyalurkan kutipan ke Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x SyriaCare mengambil kira Sinar Harian sebagai agensi berita tunggal yang melaksanakan tabung derma.
"Menerusi sumbang kepada kumpulan ini, kita sendiri dapat melihat bantuan kewangan yang dikumpulkan itu telah disampaikan secara telus dan jelas.
"Hari ini (Khamis) kita dimaklumkan bahawa sudah ada wartawan yang dihantar untuk misi penyerahan bantuan,” katanya.
Tambah beliau, dengan sumbangan yang disalurkan, diharapkan ia mampu membantu mangsa-mangsa yang terjejas dengan bencana berkenaan.
"Walaupun kutipan tidak begitu banyak, kami berharap bantuan yang disalurkan ini dapat membantu pihak Sinar Karangkraf membuat pembelian keperluan untuk mangsa-mangsa bencana seperti ubat-ubatan dan makanan,” ujarnya.
Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x SyriaCare dilancarkan pada 8 Februari lalu dan sehingga kini telah berjaya mengumpulkan sumbangan berjumlah RM127,345.74.
Sebarang bantuan boleh disalurkan melalui akaun 5642-7652-9068 (Maybank) atas nama Sinar Karangkraf atau hubungi menghubungi talian sekretariat di 019-2133315.
Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/