HATAY, TURKIYE -"Saya bukan orang yang senang sebab itu saya terpaksa memberanikan diri menyelamatkan harta benda yang masih boleh digunakan walaupun sedar kediaman ini boleh runtuh pada bila-bila masa."
Demikian kata Ibrahim Almaz, 29, warga Syiria yang menetap di Kirikhan sejak 20 tahun lalu.
Kirikhan antara bandar yang berdepan kemusnahan teruk selain Gaziantep dan Antakya, kesan gempa bumi pada 6 Februari lalu.
Kediaman Ibrahim termasuk antara lebih 12,000 bangunan yang rosak atau musnah akibat gempa bumi itu.
Ketika ditemui kira-kira jam 3 petang waktu tempatan, Ibrahim bersama adik lelakinya Omar, 15, sedang menurunkan barangan antaranya makanan, selimut, pakaian, bantal, tilam dan baju sejuk serta barangan elektrik yang masih lagi boleh digunakan.
Ibrahim terpaksa menggunakan tali dari rumahnya yang berada di tingkat tiga bangunan setinggi empat tingkat untuk menurunkan barang-barang berkenaan.
Ibrahim pula berada di tingkat bawah bagi menyambut barang yang diturunkan oleh abangnya itu.
"Apa yang kamu lihat ini adalah usaha kami untuk meneruskan hidup bersama sembilan ahli keluarga.
"Kalau kami tidak memberanikan diri, siapa yang akan membantu kami? Sama juga dengan warga-warga Syiria yang menetap di bandar ini," katanya kepada Sinar Harian di kediamannya yang hampir menyembah bumi di sini pada Khamis.
Katanya, dia bersama keluarganya kini terpaksa menumpang rumah bapa saudaranya yang terletak lebih 50 kilometer dari rumahnya.
"Kami kehilangan satu-satunya tempat berteduh. Mujur bapa saudara bersimpati dengan nasib yang menimpa kami," katanya.
Tinjauan di lokasi itu mendapati rata-rata bangunan kediaman tidak lagi selamat untuk didiami, kedai, pasar raya dan restoran pula tidak lagi beroperasi.
Sebelum gempa bumi ini melanda, Kirikhan merupakan bandar yang sebuk dengan pelbagai aktiviti melibatkan kegiatan ekonomi.
Bagaimanapun, kesan gempa bumi ini menjadikan Kirikhan sebagai bandar yang sunyi sepi.
"Dahulu Kirikhan merupakan bandar yang cantik dan sentiasa sibuk dengan pelbagai aktiviti. Rumah kediaman di sini juga cantik.
"Tetapi ALLAH takdirkan berlakunya gempa bumi di sini. Kemusnahan dapat dilihat dengan amat jelas," katanya.
Sinar Harian bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Syiria Care dan Task Emergency Medical Service (TEMS) ketika ini berada di Turkiye dalam misi menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi termasuk di Syiria.
Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam misi ini dengan menyalurkan derma kepada Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care.
Mereka yang ingin menyumbang, boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf Sdn Bhd, 564276-529068.
Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/