KUALA LUMPUR - Filem animasi Didi & Friends The Movie yang bakal ditayangkan 23 Februari ini, bukan sahaja bakal menjadi naskah buat seisi keluarga tetapi juga membawa hiburan berkualiti setanding filem animasi lain.
Berbeza dengan siri televisyen, Didi & Friends The Movie memperlihatkan kualiti produksi dan jalan cerita yang lebih menarik, selain penambahan beberapa watak yang pastinya akan memikat hati penonton.
"Filem ini berbeza daripada siri televisyen dari segi tekstur, rigging, pemodelan, animasi, warna tema, dan aspek teknikal yang lain.
"Di samping itu, Didi & Friends The Movie menyertakan lagu-lagu baharu yang ditulis oleh pengarah muzik terkenal, dengan iringan pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO), menjadikannya segar untuk penonton," kata Ketua Pegawai Eksekutif Warnakala Studios, Hairulfaizalizwan Ahmad Sofian.
Menariknya, semua watak baharu yang diperkenalkan mewakili pelbagai spesies haiwan terancam, termasuk harimau Malaya, enggang, badak sumbu dan banyak lagi.
Antara watak baharu termasuklah Torra, Nek Kura, Kapten Zee dan Tok Chip, dengan pembabitan bintang ternama seperti Datuk Awie, Amelia Henderson, Ruminah Sidek dan Waris sebagai artis suara.
Turut membuat penampilan ialah penyanyi Hael Husaini sebagai Pak Beruang dan menyanyikan lagu tema berjudul Luar Biasa.
"Kami yakin penonton dewasa akan memasukkan Didi & Friends The Movie sebagai salah satu filem animasi kegemaran mereka," kata Naib Presiden, Ketua Perniagaan Astro Shaw dan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad
Filem ini diterbitkan oleh Astro Shaw, Warnakala Studios dan Digital Durian dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Jualan tiket Didi & Friends The Movie telah bermula pada 15 Februari di 155 pawagam di seluruh Malaysia dan Brunei.
Selain itu, peminat juga boleh bertemu maskot Didi & Friends dan mengambil bahagian dalam aktiviti menarik semasa jelajah jalan Didi & Friends The Movie pada 24, 25, dan 26 Februari di pawagam terpilih di Utara dan Selatan; 3, 4 dan 5 Mac di pawagam di Pantai Timur dan di Lembah Klang pada 10,11 dan 12 Mac. - Awani