Tarikan baharu MSekin Wonderland

Iklan
Taman tema itu menyediakan kemudahan berbumbung kepada pelanggan mereka bagi mengurangkan bahang panas terik dan hujan.

Pengunjung boleh berseronok sambil bermain air di taman tema berkenaan

Taman tema itu menyediakan kemudahan berbumbung kepada pelanggan mereka bagi mengurangkan bahang panas terik dan hujan.

SEKINCHAN - Taman tema air, MSekin Wonderland Sekinchan yang berkeluasan empat hektar dijangka menjadi tarikan utama kepada pengunjung untuk merasai keseronokan bermain air.

Iklan
Iklan

Lebih mengujakan, terdapat pelbagai tarikan disediakan terutama tujuh gelongsor air dan 14 kolam renang mengikut sukatan paras air serta dua kolam angin soopa doopa yang sesuai untuk semua peringkat usia.

Pengarah Urusan MSekin Wonderland, Muhammad Amin Daniel Jamal berkata, taman tema air yang mula dibuka sepenuhnya kepada pengunjung pada 14 November 2021 itu mampu memuatkan 3,000 hingga 5,000 pengunjung dalam satu masa.

Iklan

"Semua permainan yang ada di taman tema ini sudah tentu mengujakan dan paling penting ia mesra pengguna,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Muhammad Amin menunjukkan kaunter tiket MSekin Wonderland setiap kali pengunjung ingin memasuki taman tema berkenaan.

Muhammad Amin berkata, MSekin Wonderland dijangka dapat meningkatkan kapasiti kepada 10,000 pengunjung sekiranya projek fasa dua siap pada April depan.

Iklan

Jelas beliau, projek fasa dua tentunya lebih mengujakan apabila pelanggan dapat merasai keseronokan ombak buatan seperti berada di laut.

Katanya, tarikan terbaharu itu dijangka mampu menarik orang ramai untuk mencuba sendiri sesuatu yang berbeza ditawarkan taman tema itu.

"Selain ombak buatan, antara tarikan lain bagi projek fasa dua ialah sungai buatan sepanjang 400 meter yang membolehkan pengunjung mencari ketenangan dan bersantai menggunakan pelampung,” jelas Muhammad Amin.

Muhammad Amin bergambar di pintu masuk MSekin Wonderland.

Anak sulung kelahiran Ampang itu memberitahu, tarikan lain yang pastinya mampu memikat pengunjung adalah kolam renang dua tingkat dan gelongsor lumba.

Kata beliau, taman tema terletak bersebelahan Pantai Redang itu juga berbumbung bagi mengurangkan bahang panas terik dan cuaca hujan.

"Kami inginkan keselesaan pengunjung diberi keutamaan untuk memastikan mereka dapat bermain air dan berenang pada bila-bila masa sahaja,” ujarnya.

Menurut Muhammad Amin, MSekin Wonderland dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 6 petang dengan bayaran masuk RM30 bagi dewasa, RM25 bagi kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU), manakala percuma bagi bayi bawah usia setahun.

Katanya, terdapat 10 kiosk disediakan bagi memudahkan pengunjung membeli pelbagai pilihan makanan dan minuman.

Menariknya di MSekin Wonderland, Muhammad Amin memberitahu, pengunjung juga boleh menempah bilik penginapan Sekin Fisherman Village Hotel and Resort yang terletak bersebelahan taman tema ini.

Msekin Wonderland menyediakan pelbagai permainan air mesra pengguna kepada pelanggan yang berkunjung ke taman tema itu.

Ujar beliau, pada masa ini MSekin Resort mempunyai 150 pilihan pelbagai jenis bilik termasuk enam bilik yang menyediakan kolam renang peribadi.

"Bilik dilengkapi kolam renang peribadi ini antara keunikan baru kami tampilkan bagi mereka yang ingin bersendirian tanpa gangguan,” jelasnya.

Tambahnya, kerja-kerja giat dilakukan untuk menyiapkan bangunan lima tingkat dengan kemudahan lif yang mampu memuatkan lebih 300 unit bilik lagi dan dijangka siap hujung tahun 2024.

"Jika projek ini siap nanti, MSekin bakal menyediakan 800 bilik dan kita menyasarkan untuk melengkapkan 1,000 bilik lagi pada tahun seterusnya,” tambah beliau.

Muhammad Amin berkata, pengunjung yang menginap di MSekin juga boleh menyaksikan fenomena matahari terbenam pada waktu petang.

Katanya, pengunjung pasti teruja ketika mereka berada di menara tinjau setinggi kira-kira 60 meter untuk melihat pemandangan sekitar pekan Sekinchan.

"Kami juga menyediakan ATV (all-terrain vehicle) dan basikal elektrik bagi memudahkan pengunjung untuk merasai pengalaman memandu di jalan berpasir di Pantai Redang,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh hubungi talian 017-3126751 atau 017-3126029 serta laman Facebook MSekin Wonderland.