Presiden Jerman diberi sambutan negara di Dataran Parlimen

Iklan
Frank-Walter Steinmeier ketika tiba di sini pada Khamis bagi memulakan lawatan negara ke Malaysia sehingga Sabtu ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier yang dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia diberi sambutan negara di Dataran Parlimen di sini pada Jumaat.

Ketibaan beliau dan isteri Elke Budenbender pada 10 pagi disambut Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Iklan
Iklan

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Upacara sambutan dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Jerman dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dari Kem Sungai Besi disusuli dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.

Iklan

Pada Khamis, Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, lawatan Steinmeier itu akan memberikan peluang terbaik kepada Malaysia dan Jerman untuk mengukuhkan lagi hubungan baik serta kerjasama pelbagai bidang antara kedua-dua negara.

Lawatan negara terakhir melibatkan presiden Jerman ke Malaysia ialah 26 tahun lepas iaitu pada April 1997.

Iklan

Jerman merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU). Pada 2022, nilai dagangan Malaysia dengan Jerman berjumlah RM59.87 bilion, meningkat sebanyak 10.9 peratus berbanding RM53.99 bilion (US$13.03 bilion) pada 2021. - Bernama