KUALA TERENGGANU - Permainan gasing moden atau lebih popular dipanggil 'beyblade' kini menjadi fenomena dalam kalangan kanak-kanak dan semakin mendapat perhatian.
Untuk bermain permainan ini, salah satu benda yang wajib ada bagi melengkapkan permainan adalah 'stadium' iaitu sebagai tempat untuk bermain beyblade tersebut.
Sungguh lucu apabila peralatan memasak juga jadi sasaran untuk bermain permainan gasing moden beyblade ini.
Berkongsi pengalaman itu, peminat permainan gasing moden ini, Ahmad Farid Imran, 11, berkata, selain bermain di atas lantai, dia selalu juga 'pinjam' periuk ibunya semata-mata untuk bermain gasing moden tersebut.
"Gasing beyblade ini saya beli dengan mengumpul duit sekolah setiap hari dan kadang-kadang ada juga ayah tolong belikan.
"Setakat ini saya dah ada 31 koleksi beyblade yang dibeli dengan harga paling murah RM15 hingga lebih RM60, tapi kalau yang mahal tu ayah tolong belikan," katanya kepada Sinar Harian.
Anak kedua daripada lima beradik ini berkata, minatnya bermain gasing moden selepas menonton rancangan kartun 'Beyblade Burst' selain diperkenalkan oleh sepupunya.
"Lepas tular pasal gasing beyblade awal tahun ini dan biasanya main dengan sepupu kat rumah.
"Sebab tu awal-awal dulu, saya pinjam periuk mak kat dapur nak buat 'stadium', tapi sekarang saya dah ada 'stadium' sendiri," kata murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, di sini.
Sementara itu, Faris Afhan Firdaus Ishak, 9, yang juga peminat permainan gasing moden ini berkata, dia mula mengenali apa itu beyblade selepas melihat permainan itu dimainkan di dalam laman Youtube.
Murid tahun tiga Sekolah Batu Tujuh, Dungun, ini berkata, sejak itulah dia jadikan beyblade hobi waktu lapang dan kini dia memiliki lebih 10 koleksi beyblade.
Pengaruh permainan beyblade itu juga mendapat perhatian Komuniti Facebook Warga Kuala Terengganu Residen (KUTERER) dengan menganjurkan pertandingan 'Suke-Suke maing! BEYBLADE KUTERER CHALLENGE' di Warung Satey Chikeng Mamamia, di Batu Burok, di sini.
Lebih 200 peminat beyblade di sekitar Kuala Terengganu yang juga 'Friend List' warga KUTERER menunjukkan bakat masing-masing bermain gasing moden itu.
Pertandingan tajaan Warung Satey Chikeng Mamamia dan NFK Prima Farm julung kali diadakan ini bertujuan merapatkan lagi ukhwah sesama ahli keluarga warga KUTERER.
Kelihatan seawal jam 7.30 pagi lagi orang ramai sudah memenuhi lokasi pertandingan yang dijadualkan berlangsung pada jam 9.30 pagi, untuk menyaksikan sendiri bagaimana gasing moden ini dimainkan.