SHAH ALAM - Seorang wanita warga India didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas tuduhan membunuh suaminya bersama rakan lelaki sekerja, dua tahun lalu.
Lachhami Devi, 23, dan Varun Kumar, 30, yang memakai baju T berwarna hitam, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang juga warga India kerana kes itu berada bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama telah membunuh Arshdeep Singh, 25, (warga India) di sebuah rumah kebajikan orang tua di Subang Jaya pada jam 1.30 pagi, 31 Oktober 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad sementara Lachhami tidak diwakili peguam.
Seorang lagi tertuduh, Varun diwakili peguam, Dr Pritam Singh Doal.
Tiada ikat jamin dibenarkan dan mahkamah menetapkan 14 April depan bagi sebutan semula kes.
Pada tarikh itu juga, mahkamah akan menyediakan jurubahasa Punjabi.
Pada 4 Februari lalu, Sinar Harian melaporkan, perbuatan kejam seorang lelaki yang dipercayai membunuh suami kekasihnya dan menanam mayat mangsa di lereng bukit belakang sebuah pusat jagaan orang tua di sini Mei tahun lalu akhirnya terbongkar.
Pihak polis menerima laporan itu daripada orang awam, berkaitan pengakuan seorang lelaki warga India yang membunuh rakan senegaranya sebelum menanam mayat mangsa di lokasi tersebut.