SHAH ALAM - Singapura dan Malaysia bersedia untuk berkongsi kepakaran dalam membangunkan pertanian moden dan aplikasi teknologi pintar dalam sektor pertanian.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu antara yang dibincangkan semasa kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kuala Lumpur pada Rabu.
Menurutnya, pertemuan itu penting bagi membincangkan kerjasama dua hala kedua-dua negara dalam sektor pertanian khususnya berkaitan perdagangan agromakanan.
"Kestabilan bekalan makanan adalah isu global dan perlu ditangani bersama oleh Malaysia dan Singapura.
"Pada masa sama, Malaysia turut mempelawa Singapura untuk bersama-sama meningkatkan bekalan makanan melalui pelaburan dalam sektor pertanian moden di Malaysia.
"Tambahan pula, Singapura bersedia untuk berkongsi teknologi dan kepakarannya dalam bidang pertanian pintar,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pertemuan itu turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dan pegawai-pegawai kanan MAFS serta wakil Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura di Malaysia.
Tambah Mohamad, Singapura merupakan rakan dagang pertanian yang penting untuk Malaysia.
Untuk rekod, daripada Januari hingga Oktober 2022, nilai perdagangan dalam sektor pertanian di antara Malaysia dan Singapura berjumlah RM15.99 bilion.
"Kedua-dua negara bersedia untuk memberikan komitmen bagi memperkukuhkan perdagangan dua hala dalam bidang pertanian selaras dengan matlamat untuk menjamin sumber bekalan makanan yang mampan dan berterusan,” jelasnya.