MARANG - Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu meneruskan lagi inisiatif menangani masalah penceraian dengan membawa sebanyak 40 pasangan suami isteri yang mengalami masalah rumah tangga untuk berbulan madu kali kedua atau 'second honeymoon'.
Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata, kebanyakan pasangan suami isteri yang dipilih itu terdiri dalam kalangan mereka yang telah mendirikan rumah tangga antara lima hingga enam tahun.
Menurutnya, pasangan berkenaan akan dibawa menyertai program tersebut secara berperingkat selama tiga hari dua malam di lokasi menarik di negeri ini.
"Pasangan tersebut akan diberikan motivasi untuk menjalinkan semula hubungan kasih sayang antara mereka sepanjang tempoh bulan madu tersebut.
"Setakat ini, hasil daripada program-program yang dijalankan sebelum ini terutama pada tahun lalu menunjukkan lebih 60 peratus pasangan yang telah menyertai program itu membatalkan hasrat mereka untuk bercerai," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Terengganu For Turkiye di Masjid Rusila di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Sebelum ini, media melaporkan bilangan ibu tunggal di Terengganu meningkat hampir 10,000 orang dalam tempoh tiga tahun menjadikan keseluruhan golongan itu yang direkodkan seramai 43,471 orang pada tahun 2020.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor, statistik terbaharu itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding jumlah yang direkodkan seramai 35,000 orang pada 2018.
Jelas Zuraida, bagi mengekang peningkatan bilangan ibu tunggal, kerajaan negeri mengambil dua langkah iaitu mencegah dan memulihkan di samping menjaga kebajikan serta memberi perlindungan kepada golongan tersebut.