Pulau Pinang sedia adakan taklimat PSI untuk G25

Iklan
Kon Yeow (dua dari kanan) merasmikan Taman Armenian sebagai taman realiti pertama Pulau Pinang pada Jumaat.

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang terbuka untuk mengadakan taklimat khas kepada Kumpulan Bekas Penjawat Awam Kanan (G25) berhubung cadangan Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) yang bakal dilaksanakan selepas diluluskan kelak.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai masalah untuk bertemu dengan kumpulan tersebut bagi menerangkan proses-proses yang dilaksanakan sebelum mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

"Perkara seperti ini (desakan membatalkan PSI) bukan baru bagi kita. Banyak pihak akan menentang tanpa mengetahui butiran penuh projek dan proses yang perlu kerajaan lengkapkan. Kerajaan negeri perlu berurusan dengan pelbagai agensi teknikal sebelum mengemukakan permohonan melaksanakan PSI.

"Sebab itu, kita masih meneruskan libat urus dengan pemegang taruh selain kerap berhubung dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Iklan

"Ini kerana, projek ini melibatkan komuniti nelayan dan pengeluaran makanan laut di negeri. Kita sangat terbuka sekiranya G25 ingin taklimat mengenai PSI agar mereka boleh mengetahui apa yang kerajaan negeri cadangkan dalam mengurangkan impak terhadap alam sekitar dan ekosistem laut apabila projek ini dijalankan," katanya selepas merasmikan Taman Armenian sebagai taman realiti pertama Pulau Pinang di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, G25 menggesa kerajaan Pulau Pinang membatalkan PSI yang dahulunya dikenali sebagai Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) kerana bertentangan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk menjadi sebuah negara mampan menjelang 2030.

Iklan

G25 dalam satu kenyataan memberitahu, projek PSI bukan sahaja akan menjejaskan pantai Pulau Pinang malah turut melibatkan perairan Kedah dan Perak.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri tidak akan meneruskan projek mega tersebut selagi tidak memperoleh kelulusan daripada pihak berkuasa.

"Kita masih dengan pendirian, malah saya dah cakap perkara ini banyak kali, walau banyak mana pihak yang menentang, projek ini tidak akan dijalankan selagi ia tidak mendapat kelulusan. Namun selepas ia diluluskan, kita akan laksanakan semua langkah mitigasi seperti yang terkandung dalam permohonan projek.

"Ini kerana selepas projek ini dilaksanakan, semua impak terhadap alam sekitar dan ekologi akan ada langkah penyelesaiannya," katanya.

Kon Yeow sebelum ini mengatakan, Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi PSI sudah memasuki peringkat akhir untuk mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Beliau berkata, laporan tersebut akan dibawa ke mesyuarat teknikal pada bulan depan untuk dimuktamadkan keputusan sama ada projek mega tersebut boleh dimulakan atau sebaliknya.

Menurut Kon Yeow, ketika ini JAS sedang meneliti laporan tersebut termasuk semua ulasan teknikal sebelum membuat keputusan akhir.

Projek PSI adalah projek mega melibatkan tambakan bagi mewujudkan tiga pulau dengan keluasan 1,821 hektar di kawasan selatan Pulau Pinang.

Projek tersebut yang mula diperkenalkan pada 2015 merupakan modul pembiayaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion selepas SRS Consortium dilantik sebagai PDP untuk PTMP pada 14 Ogos 2015.