KUALA LUMPUR - Nilai output kasar bagi keseluruhan sektor ekonomi Malaysia berkembang sebanyak RM307.6 bilion atau 10.6 peratus kepada RM3.21 trilion pada 2021 berbanding RM2.9 trilion pada 2020, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Kenyataan Statistik Ekonomi Tahunan 2021 pada Jumaat memaklumkan, sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang utama dengan mencatat 50.1 peratus kepada nilai output kasar berjumlah RM1.61 trilion dengan perubahan peratusan tahunan sebanyak 17.4 peratus.
Sektor perkhidmatan dan pembinaan masing-masing pada nilai RM1.17 trilion (sumbangan: 36.6 peratus; perubahan peratusan tahunan: 1.6 peratus) dan RM170.8 bilion (sumbangan: 5.3 peratus; perubahan peratusan tahunan: -1.4 peratus).
"Selain itu, input perantaraan bagi keseluruhan sektor ekonomi mencatat pertumbuhan dua angka sebanyak 12.2 peratus pada 2021 kepada RM1.96 trilion daripada RM1.75 trilion pada tahun sebelumnya
"Nilai ditambah bagi semua sektor ekonomi pada 2021 bertumbuh 8.1 peratus dengan peningkatan RM93.8 bilion kepada RM1.25 trilion berbanding RM1.16 trilion pada tahun sebelumnya,” kata kenyataan itu.
Sektor perkhidmatan yang menyumbang 52.6 peratus, merupakan penggerak utama ekonomi dengan nilai ditambah kembali pulih pada 1.7 peratus berjumlah RM658.2 bilion pada 2021 berbanding RM647.0 bilion pada 2020.
Menurut DOSM, ini diikuti oleh sektor pembuatan yang mencatat pertumbuhan dua digit sebanyak 14.6 peratus dengan nilai ditambah sebanyak RM355.1 bilion.
"Sektor perlombongan dan pengkuarian merekodkan pertumbuhan kukuh sebanyak 31.6 peratus dengan nilai ditambah sebanyak RM125.1 bilion daripada RM95 bilion pada 2020,” katanya. - Bernama