PEMAIN bintang, Lionel Messi tidak bercadang untuk kembali ke kelab lamanya, Barcelona yang disertainya sejak berumur 13 tahun ketika kontaknya bersama Paris Saint-Germain (PSG) akan berakhir pada musim panas.
Perkara itu disahkan oleh bapanya, Jorge Messi yang ditemui media di lapangan terbang Barcelona.
"Saya tidak fikir begitu, keadaannya tidak betul,” ujar Jorge mengulas sama ada dia mahu anaknya kembali bersama Barcelona.
Pemain berusia 35 tahun tersebut menyertai PSG pada musim 2021 selepas kelab Catalan itu tidak dapat memperbaharui perjanjian berikutan peraturan 'financial fair play' La Liga.
Jorge sudah bercakap dengan Presiden Barcelona, Joan Laporta mengenai perjanjian dan Messi masih ada kontrak dengan PSG.
"Perjanjian Messi bersama PSG akan tamat pada musim panas dan ketika ini dia masih belum bersetuju dengan syarat baharu.
"Dalam hidup banyak perkara boleh berlaku,” ujar Jorge.
Kapten Argentina itu yang memenangi Piala Dunia 2022 di Qatar pada Disember menyertai Barcelona pada usia 13 tahun.
Messi melakar kejayaan gemilang bersama Barca apabila merangkul 35 trofi dan menjaringkan 672 gol daripada 778 aksi dalam semua kejohanan.