PKZ Pahang sasar RM223 juta kutipan zakat harta

Iklan
Halidan (kanan) dan pengurus cawangan Muip, Faitullah Sa'adon pada sidang akhbar sempena majlis ramah mesra bersama media pada Jumaat.

KUANTAN - Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf (PKZ) Pahang menyasarkan kutipan RM223 juta zakat harta tahun ini.

Pengurus Besar Kanannya, Datuk Halidan Md Daud berkata, sasaran itu dijangka mampu dicapai berdasarkan prestasi kutipan zakat di negeri ini tahun lalu yang julung kali melepasi angka RM200 juta (RM206.9 juta).

Iklan
Iklan

Menurutnya, prestasi kutipan zakat tahun lalu sangat memberangsangkan dengan peningkatan 15.4 peratus berbanding RM179.2 juta yang berjaya dikutip pada tahun sebelumnya.

"Penyumbang terbesar bayaran zakat harta daripada zakat pendapatan dan hasil potongan gaji, RM71.9 juta dengan 62,628 orang pembayar diikuti zakat perniagaan, RM74.6 juta ( 4,593 pembayar)," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama media di sini pada Jumaat.

Halidan berkata, peningkatan zakat juga turut disumbang peningkatan potongan gaji hasil wakalah sekolah (pemulangan semula zakat) dan sumbangan zakat perniagaan daripada syarikat berasaskan perladangan kelapa sawit.

Iklan

"Lain-lain zakat seperti zakat pertanian, ternakan, emas dan perak dan wang simpanan tidak mengalami perubahan yang besar," jelasnya.

Tambah beliau, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) telah mengagihkan RM207 juta wang zakat kepada 124,900 penerima tahun lalu.

"Antara penerima terbesar bantuan zakat adalah kategori asnaf fakir miskin, RM79.9 juta (9,728 keluarga), program pembangunan masjid dan surau, RM23.2 juta dan pembangunan pendidikan melibatkan bantuan pelajar dan penyelenggaraan surau sekolah, RM 42 juta" katanya.

Halidan berkata, strategi kempen zakat masih memberi fokus kepada kempen skim wakalah sekolah seperti yang dilaksanakan tahun lalu.

Beliau berkata, sebanyak 50 sekolah yang layak menerima wakalah sekolah berjaya meningkatkan prestasi potongan gaji melebihi RM3 juta.

"Tahun ini dianggarkan lebih 150 sekolah akan mendapat manfaat dari pemulangan semula wang zakat itu.

"Secara tidak langsung ia akan melonjakkan kutipan potongan gaji dalam kalangan guru-guru dan kakitangan sekolah," katanya.

Jelas beliau, melalui skim wakalah ini, 30 peratus wang zakat akan dikembalikan untuk diagihkan oleh pembayar zakat.

"Kategori pembayar zakat yang layak mendapat pulangan 30 peratus wang zakat untuk diagihkan adalah individu yang membayar zakat RM30,000 dan ke atas dalam tahun yang sama dan badan korporat atau syarikat yang membayar zakat perniagaan RM50,000 dan ke atas.

"Turut layak institusi pengajian tinggi (IPT) yang menguruskan potongan gaji minimum kutipan RM10,000 sebulan serta sekolah-sekolah yang membuat potongan gaji 90 peratus daripada jumlah kakitangannya," ujarnya.