MELAKA - Tindakan keji seorang bekas tentera melakukan amang seksual fizikal terhadap anak lelakinya yang masih kecil akhirnya menerima balasan selepas dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat.
Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu selepas lelaki berusia 52 tahun itu membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang mempunyai hubungan bapa kandung didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Pokok Mangga Kampung Padang, antara jam 10.30 malam hingga 3 pagi, pada 5 dan 6 Februari lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Tertuduh yang diwakili peguam, Muhamad Syah Azlan Abdullah memohon hukuman rendah dikenakan terhadap tertuduh kerana tertuduh hanya bekerja sambilan sebagai pengawal keselamatan di sebuah hotel dengan pendapatan RM1,500 sebulan dan perlu menyara keluarga termasuk dua anak masih bersekolah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira faktor kepentingan awam selain tertuduh merupakan bapa kandung kepada mangsa.
Berdasarkan fakta kes, bekas isterinya membuat laporan polis selepas kanak-kanak lelaki itu mengadu bahawa kemaluannya berasa sakit selepas alat sulitnya ditarik oleh bapa.
Wanita kepada lima orang anak itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah pada 11 Februari lalu.
Hakim Darmafikri pada penghakimannya berkata, kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan seharusnya seorang bapa kandung melindungi dan menjaga keselamatan anaknya.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 11 Februari lalu.