PRN: Mesyuarat enam negeri minggu depan

Iklan
Chow Kon Yeow

GEORGETOWN - Menteri Besar dan Ketua Menteri dari enam negeri akan mengadakan mesyuarat bersama bagi membincangkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, mesyuarat tersebut adalah untuk mendapat kata sepakat bagi keenam-enam negeri tersebut memilih tarikh yang sesuai untuk pembubaran DUN masing-masing dan PRN.

Iklan
Iklan

"Mesyuarat akan diadakan pada minggu depan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari yang akan menganjurkan perjumpaan tersebut.

"Tempoh masa (untuk pembubaran dan adakan PRN) semakin dekat. Jika tiada perjumpaan pun, PRN akan tetap diadakan antara Jun atau Julai," katanya selepas merasmikan Taman Armenian sebagai taman realiti pertama Pulau Pinang pada Jumaat.

Iklan

Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berpendapat bahawa Jun adalah masa terbaik untuk mengadakan PRN.

Kon Yeow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang berkata, pemimpin PH negeri yang bermesyuarat sebelum ini bersetuju bahawa Jun adalah masa terbaik untuk mengadakan PRN kerana tempoh waktu singkat untuk membubarkan DUN.

Iklan

Enam negeri yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini turut berpendapat PRN di enam negeri itu perlu dijalankan serentak seperti yang dicadangkan beberapa pihak sebelum ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, langkah itu bagi memudahkan urusan SPR termasuk penyelarasan petugas dalam memastikan proses pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di enam negeri itu berjalan lancar.