Candat sotong dengan bot berdaftar

Iklan
Ariffin (empat, kiri) melepaskan peserta ‘Karnival Maghi Candat Sotong 2019’ di Jeti Tok Ku Paloh, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, hari ini.

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri menasihatkan orang ramai yang ingin menyertai aktiviti mencandat sotong di perairan Terengganu supaya mendapatkan pakej dengan bot yang berdaftar atau dengan nelayan tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, ia bagi memastikan pelancong dapat melakukan aktiviti itu dengan selesa dan tidak tertipu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan negeri bekerjasama dengan Jabatan Perikanan negeri dan Jabatan Laut dengan memberikan kebenaran kepada nelayan tempatan dan individu menjalankan pakej mencandat sotong.

"Sebenarnya kita ada sembilan pemain industri rasmi yang menyediakan pakej candat sotong ini. Tapi memandangkan permintaan yang terlalu tinggi, kita berikan kebenaran kepada nelayan-nelayan tempatan dan individu tertentu dalam menjalankan pakej sepanjang musim candat ini.

Iklan

"Pada masa yang sama, kita risau juga jika ada yang ambil kesempatan sehingga boleh menjejaskan imej pelancongan Terengganu. Jadi saya harapkan pelancong pilih pakej yang dipercayai dan bot yang berdaftar, demi keselamatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan ‘Karnival Maghi Candat Sotong 2019’ di Jeti Tok Ku Paloh, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, hari ini.

Iklan

Sebanyak 45 bot candat termasuk feri TTI terlibat dalam karnival itu, dengan 310 peserta dari Tenaga Nasional Berhad (TNB), 20 peserta Gegar FM, 20 pengamal media tempatan dan 150 peserta lagi daripada pelbagai agensi.

Peserta kelihatan teruja untuk menyertai program candat sotong itu.

Kesemua peserta akan dibawa berhampiran Pulau Bidong, bagi merasai sendiri pengalaman mencandat sotong.

"Sejak 2014, aktiviti mencandat sotong telah berjaya melonjakkan industri pelancongan Terengganu, bukan sahaja dalam kalangan pelancong tempatan, malah luar negara. Ia juga dapat memperkenalkan kluster produk dan destinasi pelancongan lain seperti di Kuala Terengganu, Tasik Kenyir dan Setiu Wetlands.

"Program ini adalah platform kepada kempen ‘Beautiful Terengganu’ dan kesinambungan daripada promosi yang telah dibuat pada tahun-tahun sebelum ini bagi menarik lebih ramai pelancong ke Terengganu,” katanya.

Jelas Ariffin, aktiviti mencandat sotong di Terengganu merupakan salah satu daripada 30 aktiviti dalam kalendar pelancongan negeri ini dan berlangsung dari April hingga September setiap tahun.