LEBIH 1,000 produk merangkumi barangan bayi dan mainan kanak-kanak ditawarkan di Pavilion Indonesia yang mula beroperasi di GM International Exhibition (M) Sdn Bhd (GMIE) pada Jumaat.
Pengarah Urusan GM Klang, Datuk Lim Seng Kok berkata, pavilion itu bertujuan membantu pengusaha dari Indonesia mewujudkan pusat pemasaran serantau yang berpangkalan di Malaysia.
Menurutnya, pada masa sama kerjasama tersebut dapat menggalakkan pembangunan ekonomi, perdagangan dan pelancongan antara Malaysia dan Asia Tenggara.
"Ini tidak hanya terhad kepada perusahaan permainan kanak-kanak sahaja, kita turut mengalu-alukan industri lain untuk bersama-sama mempromosikan barangan mereka di sini.
"Indonesia mempunyai pasaran amat luas disebabkan penduduknya yang ramai, bermakna negara ini ada kekuatannya tersendiri," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas Majlis Perasmian Pavilion Indonesia di GM Klang pada Jumaat.
Ujar Seng Kok, pihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama beberapa kedutaan untuk membawa lebih banyak pengusaha luar negara masuk ke Malaysia.
"Selain produk luar negara, kita juga menyediakan pameran barangan industri kecil dan sederhana (IKS) dari Sabah dan Melaka. Saya berharap GM Klang kelak akan mempunyai kedai dari seluruh negeri di Malaysia," ujarnya.
Dalam pada itu Pengurus Kanan Komunikasi Jenama GM Klang, Norsuhaida Othman berkata, sejak GMIE memulakan operasi empat tahun lalu banyak produk terutamanya permainan dan barangan bayi telah dibawa masuk ke GM Klang.
Jelasnya, sehingga kini, mereka telah memiliki lebih 50,000 produk pameran di ruang perniagaan yang terletak di aras 5, blok B.
"Konsep kita adalah untuk menjadi perantara pembeli dengan kilang-kilang besar bagi membekalkan produk dengan efisien dan selamat.
"Ramai peniaga kecil telah berjaya mendapatkan stok-stok perniagaan mereka melalui GMIE dengan penjimatan yang lebih dari segi masa, wang dan tenaga,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Asosiasi Mainan Indonesia (AMI), Sutjiadi Lukas berkata, Pavilion Indonesia di GM Klang ketika ini merangkumi 10 pengusaha industri mainan kanak-kanak dan barangan bayi dari Indonesia.
Beliau memberitahu, AMI akan terus mengembangkan pasaran dengan membawa seramai mungkin pengusaha merangkumi pelbagai industri ke pusat borong itu.
"Saya cuba untuk terus bawa pengusaha Indonesia yang ingin memajukan perniagaan mereka dengan mengeksport barangan ke luar kerana ketika ini produk Indonesia juga tidak kurang hebatnya seperti produk China yang selama ini mendominasi (industri pembuatan barangan).
"Saya juga jangka seramai 25 pengusaha dari berbagai-bagai sektor akan sertai kami untuk memasarkan produk mereka di Pavilion Indonesia bagi tahun ini," jelasnya.