SKUAD negara yang bersaing di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) perlu segera bangkit mempamerkan karakter sebenar pada aksi suku akhir menentang China malam ini.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria berkata, para pemain perlu melupakan kekalahan kepada India dalam aksi peringkat kumpulan pada Khamis.
Katanya, kekalahan itu adalah asam garam dalam kejohanan dan menjadikannya pengajaran untuk beraksi lebih baik bertemu China.
"Pertandingan belum habis. Prestasi pasukan negara sudah tentu ada pasang dan surut.
"Jadi saya harap mereka dapatkan lupakan kekalahan itu (India) dan teruskan cabaran apabila bertemu China yang pasti cabarannya bukan mudah.
"Mereka pemain profesional dan tahu apa yang perlu dilakukan untuk perlawanan seterusnya. Saya harap mereka mampu untuk beri aksi terbaik,” katanya.
Pada aksi akhir peringkat kumpulan B pada Khamis, Malaysia menamatkan saingan sebagai naib juara selepas tewas pada India 1-4.
Malaysia diundi bertemu China pada aksi suku akhir pada jam 8 malam ini untuk meraih slot ke pusingan separuh akhir.